Pemimpin sekolah pemangkin kecemerlangan

Pemimpin sekolah pemangkin kecemerlangan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Seramai 200 orang pemimpin sekolah kerajaan dan bukan kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menghadiri Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru ke-25 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Hadir merasmikan persidangan itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Dengan tema Kepimpinan Cemerlang dalam Membentuk Sekolah Cemerlang, persidangan tahun ini memfokuskan kepada memberigakan Standard Kepimpinan Brunei Darussalam (BDSLS) yang akan dilaksanakan pada tahun depan serta menekankan kepentingan peranan kepimpinan sekolah dalam kecemerlangan institusi.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya pada majlis itu, menekankan mengenai kepentingan kepimpinan sekolah yang menurutnya, mereka ini bertindak sebagai pemangkin yang tanpanya perkara baik lain tidak mungkin akan berlaku.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri persidangan itu, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri persidangan itu, kelmarin.
Antara guru-guru yang menghadiri persidangan itu.
Antara guru-guru yang menghadiri persidangan itu.

Menurut beliau, pemimpin-pemimpin sekolah mempunyai impak penting ke atas pembelajaran pelajar, oleh itu, pelaburan ke atas pemimpin sekolah yang bagus merupakan cara paling kos efektif untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.

“Pemimpin-pemimpin sekolah paling berjaya membangunkan budaya berteraskan pasukan yang di mana semua orang dijangka melakukan tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada satu atau lebih banyak pasukan yang bekerjasama ke arah matlamat sama,” tambah beliau.

Sementara itu, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan pula menjelaskan, BDSLS merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan dalam usahanya mencapai Wawasan Brunei 2035.

“Pembangunan standard-standard ini telah bermula tahun ini yang melibatkan penyertaan aktif pihak berkepentingan antaranya ketua-ketua kluster, pemimpin sekolah dan pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan berkaitan di kementerian dan perunding dari National College for Teaching and Leadership (NCTL), United Kingdom,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, penubuhan standard ini pada dasarnya merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kementerian dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

Dengan standard ini, amalan memilih pemimpin sekolah menerusi prosedur yang tidak jelas dan tidak konsisten akan tidak dapat digunakan lagi.

Kriteria yang terkandung dalam standard berkenaan akan digunakan untuk memilih dan menapis pemimpin-pemimpin berpotensi sedia ada.

“Sokongan dalam bentuk latihan kepimpinan awal serta pembangunan kepimpinan profesional berterusan berpandukan standard kepimpinan akan ditawarkan untuk menyediakan pemimpin yang bercita-cita dan dalam masa yang sama meningkatkan kemahiran sedia ada.

“Piawaian ini akan digunakan untuk mengukur dan mentauliahkan kualiti kepimpinan pemimpin sekolah dalam amalan,” tambah beliau.

Menerusi persidangan ini, Kementerian Pendidikan melahirkan harapan agar dapat memberikan pengetahuan dan kemahiran berguna seterusnya meningkatkan keupayaan peserta dalam memimpin dan mengurus perubahan dan mengubah sekolah-sekolah kita menjadi sekolah cemerlang.

Persidangan kemudian mendengarkan pembentangan ucaptama oleh Pengarah Farrar Chapman Ltd. United Kingdom, Maggie Farrar.