Pemimpin TELMIN lancar AIM 2020

Pemimpin TELMIN lancar AIM 2020

DA NANG, Vietnam, 27 Nov – Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Menteri-menteri Perhubungan dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN ke-15 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini, di Da Nang.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Maklumat dan Perhubungan Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Dr. Nguyen Bac Son dan Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa selaku naib pengerusi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada mesyuarat itu, hari ini, para pemimpin ASEAN TELMIN telah melancarkan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 (AIM 2020) yang akan menjadi paduan kepada para menteri dan pegawai peringkat kerja ASEAN dalam melengkapi ASEAN ke arah sebuah ekonomi berkeupayaan digital, yang terjamin, mapan dan membawa perubahan.

Ini akan membawa kepada pencapaian Komuniti ASEAN yang inovatif, inklusif dan bersepadu.

Terdapat lapan Teras Strategik dikenalpasti di bawah AIM 2020 iaitu Pembangunan dan Transformasi Ekonomi; Integrasi dan Pemerkasaan Rakyat menerusi ICT; Inovasi; Pembangunan Infrastruktur ICT; Pembangunan Modal Insani; ICT dalam Satu Pasaran; Media dan Kandungan Baru; serta Keselamatan dan Jaminan Maklumat.

pg05_151128_a

Daripada lapan teras ini, titik-titik tindakan dibangunkan bagi projek-projek dan inisiatif sebagai asasnya, yang mana projek-projek ini dijangka dilaksanakan dari 2016 hingga 2020.

Terdahulu, sidang menteri memuji kejayaan pelaksanaan Pelan Induk ICT ASEAN 2015 (AIM 2015) yang telah dilancarkan pada Januari 2011.

Di bawah pelan ini, sebanyak 87 projek telah dilaksanakan untuk menangani enam Teras Strategik dan 29 titik tindakan, yang mana usaha-usaha ini telah membawa kepada pembaikan dalam pembangunan dan kesalinghubungan ICT di rantau ini.

Dalam mesyuarat itu juga, sidang menteri juga menerima pakai Deklarasi Da Nang bertajuk ‘Ke arah Komuniti ASEAN Berkeupayaan Digital, Inklusif dan Mapan’, yang mengulangi Komitmen ASEAN untuk merealisasikan manfaat Komuniti ASEAN menerusi penggunaan ICT seperti yang digariskan dalam AIM 2020.

Para menteri juga meluluskan pembiayaan bagi pelaksanaan projek-projek dalam Kitaran Kerja 2016, yang antara lain bermatlamat untuk menggalakkan lebih kreativiti dalam ICT, menerusi projek-projek seperti Anugerah ICT ASEAN dan Kem Kanak-kanak Siber ASEAN.

Menteri-menteri perhubungan ASEAN juga telah menghadiri Mesyuarat ASEAN TELMIN + China ke-10, Mesyuarat ASEAN TELMIN + Jepun ke-10, Mesyuarat ASEAN TELMIN + Korea ke-10 dan Mesyuarat ASEAN TELMIN + Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-4.

Menurut kenyataan itu lagi, para menteri juga telah mengalu-alukan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), yang mana Mesyuarat ASEAN TELMIN + AS pertama akan diadakan pada tahun depan.

Mesyuarat ini telah didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (TELSOM) ke-15 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada 25 November lalu.

Delegasi Brunei Darussalam ke mesyuarat itu telah diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Perhubungan dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI).

Mesyuarat ASEAN TELMIN diadakan setiap tahun dan dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi ICT untuk membincangkan perkembangan kerjasama ASEAN bagi memperbaiki lagi pembangunan dan kesalinghubungan ICT di rantau ini.

Brunei Darussalam akan menghoskan ASEAN TELSOM ke-17, ASEAN TELMIN ke-16 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada November tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA