Pemimpin Teluk adakan sidang

Pemimpin Teluk adakan sidang

RIYADH, 5 Mei (AFP) – Raja-raja Teluk berhimpun hari ini bagi mesyuarat luar biasa dalam kehadiran Presiden Perancis Francois Hollande, ketika kebimbangan antarabangsa meningkat berhubung peperangan di Yaman.

Enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang didominasi pihak ahli Sunah mengadakan pertemuan di bandar Saudi, dengan rantau mereka juga diancam pejuang jihad dan di tengah kebimbangan berhubung kemungkinan perjanjian akhir nuklear dengan Iran.

Paris mempunyai hubungan rapat politik dan ekonomi dengan raja-raja Teluk yang kaya dengan hasil minyak dan gas. Hollande tiba di Riyadh dari negara anggota GCC, Qatar, yang mana di negara itu beliau telah hadir semalam bagi penandatanganan perjanjian bernilai 6.3 bilion euro antara firma aeroangkasa Perancis Dassault dan para pegawai pertahanan Qatar.

Perjanjian itu termasuklah pesanan 24 buah jet pejuang Rafale dengan pilihan 12 buah lagi. Kehadiran beliau selaku ‘tetamu kehormat’ di mesyuarat Teluk adalah seminggu sebelum pemimpin negara anggota GCC berlepas ke negara sekutu mereka, Washington bagi rundingan.

Presiden Barack Obama menggesa bagi rundingan itu untuk mendapat ilham bagi mengurangkan konflik serantau dan dalam usaha untuk mengurangkan kebimbangan Teluk berhubung sebarang pemulihan hubungan AS dengan Iran.

Francois Hollande (kiri) berdiri di samping Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saoud. – AFP
Francois Hollande (kiri) berdiri di samping Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saoud. – AFP

Para pemimpin Teluk mahu Hollande menemui mereka sebelum mesyuarat Washington untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai sekutu setia di Perancis, “dan mereka meminta yang sama dari Obama,” menurut pegawai kanan Perancis.

“Kami kini adalah rakan utama rantau ini,” kata pegawai itu yang merahsiakan identitinya. Paris dan Washington berusaha meyakinkan negara-negara Teluk tentang perjanjian antarabangsa yang sedang dimuktamadkan berhubung program nuklear Iran.

Teluk bimbang Iran Syiah mungkin masih mampu memajukan bom nuklear di bawah perjanjian yang akan mengehadkan kemampuan nuklearnya sebagai ganti penarikan balik sekatan antarabangsa yang melumpuhkan.

Tehran menafikan sebarang cubaan untuk memajukan senjata nuklear.

Sebelum Hollande, satu-satunya pemimpin asing lain yang dijemput ke mesyuarat GCC yang telah memasuki tahun ke-34, adalah presiden Iran pada masa itu Mahmoud Ahmadinejad dalam tahun 2007.