Peminat boleh mimpi, bukan pemain – Ranieri

Peminat boleh mimpi, bukan pemain – Ranieri

LEICESTER, 14 Sept (AFP) – Pengurus Leicester Claudio Ranieri berkata, pemainnya tidak boleh menyertai peminat kelab bermimpi sekalipun melakar permulaan cemerlang di Liga Perdana Inggeris.

Kelab bimbingan Ranieri menokok ke kedudukan kedua selepas melakukan kebangkitan menarik daripada ketinggalan 2-0 untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Aston Villa, semalam.

Ranieri berkata peminat kelab itu perlu meraikan kejayaan tanpa kalah yang dicipta The Foxes musim ini namun menegaskan pasukannya supaya terus berada di alam nyata kerana sasaran mereka adalah mengumpul 40 mata yang mampu mengekalkan mereka di saingan elit Inggeris itu, musim depan.

“Ia bukan Mac atau April. Jika saya berada di kedudukan kedua liga pada April, ia menakjubkan. Namun ketika ini hanya September dan saya fikir untuk mendapatkan 29 mata lagi, ia adalah sasaran kami,” kata Ranieri

“Selepas itu barulah kami boleh bermimpi. Ia benar. Benar, jika saya adalah peminat, saya mahu pergi ke stadium untuk bermimpi, namun kami perlu terus berada di alam nyata.

Reaksi seorang peminat Leicester City selepas wisel penamat dibunyikan. – AFP
Reaksi seorang peminat Leicester City selepas wisel penamat dibunyikan. – AFP

“Kami kenal Liga Perdana dan sukan ini senang berubah. Kami perlu memberi tumpuan penuh dan fokus kepada sasaran kami.

“Sasaran kami adalah kekal di EPL dan selepas itu kami boleh bermimpi,” katanya.

Bekas pengurus Chelsea itu berkata pemainnya menampilkan karektor yang menakjubkan serta semangat juang yang baik.

“Jangan berputus asa, ia adalah semangat yang saya mahukan,” katanya yang sebelum ini mengendalikan skuad kebangsaan Greece sebelum kembali ke EPL mengemudikan Leicester.

ARTIKEL YANG SAMA