Peminat temui ‘watak’ utama Star Wars

Peminat temui ‘watak’ utama Star Wars

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 22 Dis – Peminat-peminat filem epik Star Wars hari ini berpeluang untuk bertemu dan mengambil gambar kenang-kenangan dengan beberapa watak dalam filem berkenaan di Gedung Membeli-Belah KBSentral, di sini.

Penampilan watak-watak Darth Vader, Stormtroopers, Chewbacca dan Kylo Ren yang boleh dilihat berjalan-jalan di sekitar pusat membeli-belah berkenaan bermula kelmarin hingga 24 Disember ini, adalah bersempena dengan tayangan Star Wars: The Force Awaken.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, KBSentral Event Management mengambil kesempatan tayangan filem berkenaan untuk menarik hati orang ramai dan memberi peluang serta kesempatan kepada mereka untuk beramah mesra serta mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.

Sesi bergambar bermula sebelum mereka memasuki panggung wayang di Cineplex yang menayangkan filem tersebut pada waktu tertentu, seperti pada jam 2:45 petang dan 6:15 petang tadi, tatkala lagu tema Star Wars dimainkan, manakala watak-watak Star Wars cuba mencuit hati peminat dengan melakukan beberapa aksi-aksi seperti yang ditayangkan dalam filem itu.

Peminat dan cosplayer Star Wars bergambar ramai sebelum tayangan filem itu.
Peminat dan cosplayer Star Wars bergambar ramai sebelum tayangan filem itu.

Pihak pengurusan KBSentral menerima maklum balas yang positif daripada pengunjung gedung membeli-belah berkenaan dan pengalaman tersebut sungguh bermakna bagi mereka.

Salah seorang peminat yang ditemui, Awang Mohd Fathurrahman bin Amidood berkata ini merupakan kali kedua beliau menonton filem tersebut di panggung wayang dan menceritakan bahawa filem tersebut amat menarik dan mendapat kepuasan sejurus selepas menontonnya

Pengunjung ke KBSentral juga diberi peluang untuk memegang ‘lightsabers’ (senjata fiksyen yang mengeluarkan cahaya laser yang digunakan oleh watak Jedi dalam mana-mana pertempuran).

Sebagai tanda penghargaan, pengunjung yang bergambar dengan watak-watak berkenaan juga telah diberikan kupon tajaan Sugar Bun dan Focus Point.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak KBSentral sangat gembira dengan sambutan itu dan menyatakan harapan agar pusat membeli-belah mereka akan terus menjadi perhentian untuk membeli-belah bagi mereka di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA