Peminat tunggu aksi Messi, Neymar

Peminat tunggu aksi Messi, Neymar

SANTIAGO, 12 Jun (AFP) – Pertembungan di antara dua bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar berkemungkinan akan berlaku dalam Copa America yang akan membuka tirai hari ini.

Kejohanan selama tiga minggu itu akan bermula di Santiago di mana Chile berdepan Ecuador dalam persaingan Kumpulan A pada pukul 8.30 malam (8.30 pagi waktu Malaysia) dengan tuan rumah membawa misi mencari kejuaraan pertama dalam Copa America.

Nama-nama besar dalam kancah bola sepak Eropah akan bersaing di Chile termasuk kapten Argentina, Messi dan Neymar yang akan beraksi untuk Brazil, James Rodriguez (Colombia), Alexis Sanchez (Chile) serta penyerang Uruguay, Edinson Cavani.

Messi dan Neymar akan memulakan kempen itu kurang seminggu selepas membantu gergasi Sepanyol, Barcelona merangkul kejuaraan Liga Juara-juara bagi meraih kejayaan treble musim ini.

Kedua-dua pemain itu memikul tugas berat dengan Messi berhasrat untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertama dan Neymar mahu melupakan kegagalan memalukan semasa Piala Dunia tahun lalu.

Aksi dua rakan ini dalam pasukan yang berbeza sentiasa ditunggu-tunggu peminat bola sepak Amerika Selatan dan dunia amnya. – Reuters
Aksi dua rakan ini dalam pasukan yang berbeza sentiasa ditunggu-tunggu peminat bola sepak Amerika Selatan dan dunia amnya. – Reuters

“Saya rasa saya berada dalam keadaan yang lebih baik untuk memulakan kejohanan ini berbanding Piala Dunia tahun lalu,” katanya.

Messi bersama pasukan Argentina mengalami kekecewaan dalam Piala Dunia selepas tewas 0-1 kepada Jerman menerusi jaringan pada masa kecederaan dan kegagalan itu menyaksikan mereka tidak pernah menjulang sebarang trofi sejak kali terakhir melakukannya dalam Copa America 1993.

Messi mengakui, Argentina memiliki barisan pemain berbakat termasuk Carlos Tevez, Sergio Aguero dan Angel di Maria yang sememangnya mengimpikan untuk menamatkan kemarau kejayaan.

“Generasi ini sangat terdesak untuk merangkul kejuaraan bersama pasukan kebangsaan kami,” kata Messi.

Bintang Manchester City, Aguero lebih teruja apabila berkata: “Sekiranya generasi pemain ini gagal merangkul sebarang kejuaraan, kami akan berasa sangat kecewa sepanjang hayat kami.”

Argentina akan memulakan kempen dengan menentang Paraguay Sabtu ini dan satu lagi perlawanan Kumpulan B menyaksikan Uruguay bakal berdepan Jamaica, salah satu pasukan jemputan dari zon CONCACAF dalam kejohanan berkenaan.