Pemindahan Pusat Pendermaan Darah

Pemindahan Pusat Pendermaan Darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Berikutan kerja-kerja pengubahsuaian kepada Pusat Pendermaan Darah (PPD) siap dilaksanakan, perkhidmatan pendermaan darah dan pendermaan platelet serta perkhidmatan pembuangan darah (venesection) akan berpindah semula ke lokasi asal di Tingkat Bawah, Blok 8, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bermula pada hari ini (1 Jun 2016).

Waktu perkhidmatan di PPD di RIPAS itu akan dibukakan bermula dari jam 8 pagi hingga 11:45 pagi dan 1:30 petang hingga 4:15 petang.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini turut memaklumkan bahawa sepanjang bulan Ramadan, waktu perkhidmatan di PPD dibukakan bermula dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

Untuk makluman orang ramai, di bulan Ramadan, tambahan waktu perkhidmatan di PPD diberikan pada 9 Jun 2016 dan 23 Jun 2016 pada sebelah malam bermula dari jam 7 malam hingga 9:30 malam.

Di samping itu, pusat ini juga akan mengadakan Kempen Derma Darah Besar-besaran sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2016 (HPDS) pada 4, 15 dan 18 Jun depan.

Pada 4 Jun, kempen akan diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan dari jam 8 pagi hingga 11:45 pagi dan 1:30 petang hingga 4 petang dan 15 Jun dari 7 malam hingga 9:30 malam juga di tempat yang sama.

Manakala itu, pada 18 Jun, kempen akan diadakan di PPD, Hospital RIPAS dari jam 7 malam hingga 9:30 malam.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan datang untuk menderma darah di pusat ini bagi sama-sama membantu pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah di samping membantu pusat meningkatkan stok-stok darah bagi kegunaan di sepanjang bulan Ramadan.

Sebarang pertanyaan mengenai pendermaan darah dan kempen-kempen derma darah, sila hubungi talian Darussalam 123 atau hubungi terus PPD di talian 2242424 sambungan 5745.

 

ARTIKEL YANG SAMA