PEMODA lawat Penjara Jerudong

PEMODA lawat Penjara Jerudong

Oleh Mohammad Abdullah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Dalam usaha untuk memberi maklumat mengenai hukuman jenayah di negara ini kepada ahli-ahlinya, Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah mengadakan lawatan ke Jabatan Penjara Jerudong, di sini, semalam.

Lawatan berkenaan disertai oleh 27 orang ahli persatuan dengan diketuai oleh Timbalan Yang Di-Pertua PEMODA, Awang Mohamad Shah’rin bin Shahbuddin.

Menurut Awang Mohamad Shah’rin, salah satu tujuan lawatan tersebut adalah untuk mengeratkan silaturahim kalangan ahli-ahli PEMODA bersama pegawai-pegawai penjara, di samping memberi kesedaran dan maklumat mengenai jenayah dan hukumannya, terutama sekali hukuman sebat.

Beliau melahirkan harapan agar lawatan tersebut akan memberi tauladan kepada ahli-ahli supaya mereka akan lebih berusaha untuk meningkatkan disiplin mereka dan akan menjauhi aktiviti-aktiviti negatif serta berusaha untuk menjadi ahli dan rakyat yang bertauladan.

Ahli-ahli  PEMODA bergambar ramai semasa lawatan tersebut.
Ahli-ahli PEMODA bergambar ramai semasa lawatan tersebut.

Ini kerana, tambah beliau, ahli-ahli bermotosikal pada amnya memberi imej yang negatif, maka adalah penting bagi setiap ahli PEMODA untuk meningkatkan disiplin dan menjaga imej baik mereka, serta nama persatuan dan Negara.

Katanya lagi, imej positif adalah penting bagi setiap ahli-ahli PEMODA, dengan itu, salah satu usaha mereka bagi meningkatkan imej yang positif adalah dengan mengadakan Program Pembangunan PEMODA, kerja-kerja amal serta lawatan ke pejabat-pejabat kerajaan seperti Jabatan Penjara.

Dalam lawatan itu, rombongan telah mendengarkan taklimat mengenai akta dan undang-undang serta program-program dan kemudahan yang terdapat di Jabatan Penjara yang telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Penjara Jerudong, Haji Shahrin Nizar bin Haji Nohl.

ARTIKEL YANG SAMA