PEMODA, PTM adakan KKNK

PEMODA, PTM adakan KKNK

Oleh Mohammad Abdullah

 

TEMBURONG, 13 Mac – Dengan slogan ‘Kenali dan Cintai Negara Kitani Brunei Darussalam’ Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) dan Persatuan Motosikal Temburong (PTM) akan menganjurkan Konvoi Kenali Negara Kitani (KKNK) yang akan diadakan di Daerah Temburong pada 18 hingga 20 Mac depan.

Acara yang juga dikendalikan dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Piasau-piasau, Kampung Belais dan Kampung Sibut ini diadakan bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya rakyat negara ini menunjukkan semangat perpaduan dan patriotik yang lebih tinggi agar keamanan yang dikecapi kini akan berterusan.

Menurut Yang Di-Pertua PTM, Awang Khairul Asyraf bin Bagol, Daerah Temburong buat julung-julung kalinya akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran KKNK 2016.

Beliau memberitahu bahawa Konvoi yang turut disokong oleh Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Jabatan Belia dan Sukan serta Outward Bound Brunei Darussalam ini bertujuan untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam serta Daerah Temburong sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik untuk diterokai di samping memberigakan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun.

Ahli-ahli PEMODA dan PTM bergambar ramai semasa mengadakan perbincangan bersama.
Ahli-ahli PEMODA dan PTM bergambar ramai semasa mengadakan perbincangan bersama.

Ini juga merupakan kali pertama PTM dan PEMODA bergabung untuk acara sebesar KKNK. Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad pula menjelaskan bahawa KKNK ini adalah acara yang sangat unik dan diadakan setiap tiga tahun. Tahun ini merupakan kali ke-2 ia diadakan dengan Daerah Temburong akan menjadi tumpuan pada tahun ini.

Menurut beliau, seramai 150 orang penunggang dan pengemar-pengemar motosikal berkuasa tinggi di negara ini dijangka akan menyertai konvoi yang berkebajikan itu.

Antara aktiviti-aktiviti sepanjang konvoi ialah pameran dan jualan produk mukim dan kampung, persembahan kebudayaan serta ‘Green Heart Of Borneo Ride’ yang akan membawa peserta-peserta konvoi mengunjungi Kampung Piasau-piasau, Kampung Sibut, Kampung Belais dan Outward Bound Brunei Darussalam.

Walaupun KKNK ini hanya diadakan sebagai acara yang berperingkat kecil akan tetapi ia membawa mesej yang besar, iaitu bagi meningkatkan semangat patriotisme dan cintai tanah air terutama sekali kepada peserta-peserta konvoi serta penduduk di Daerah Temburong.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan acara ini dan pada sesiapa yang ingin mengikut serta acara KKNK, pendaftaran bolehlah dibuat semasa pembukaan acara tersebut nanti, pada 18 Mac di Bangunan Utama Kompleks Bumiputera, Pekan Bangar.

ARTIKEL YANG SAMA