PEMODA rai ulang tahun ke-20

PEMODA rai ulang tahun ke-20

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-20 tahun dengan majlis sambutan yang diadakan di Hotel Times, Berakas, hari ini yang dihadiri hampir 200 orang ahlinya.

Sempena ulang tahun PEMODA ini, 50 orang ahli telah dianugerahkan Lencana Ahli Cemerlang yang dinilai berdasarkan keaktifan mereka dalam setiap acara PEMODA dan juga pengorbanan mereka kepada persatuan selama ini.

Di samping itu, lencana khas Ahli Aktif Seumur Hidup turut diberikan kepada empat orang ahli yang terdiri daripada ahli-ahli kehormat iaitu bekas ahli PEMODA serta pelopor-pelopor yang telah memegang jawatan ahli jawatankuasa tertinggi sepanjang PEMODA diwujudkan.

Lencana-lencana telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan pencipta logo ulang tahun 20 tahun PEMODA kepada Pengiran Haji Mohd Zukarnaen bin Pengiran Haji Abu Bakar.

Sejak ditubuhkan pada 1 April 1996, PEMODA telah berkembang atas sokongan padu ahli-ahlinya.

Ketika sesi memotong kek pada majlis tersebut.
Ketika sesi memotong kek pada majlis tersebut.

Dengan hanya 30 orang ahli di awal penubuhannya, PEMODA kini membesar kepada lebih 830 orang ahli.

PEMODA telah giat menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, kenegaraan dan juga aktiviti-aktiviti amal, yang mana pada hari ini PEMODA dikenali sebagai persatuan motosikal yang bukan sahaja berkaliber tinggi malah persatuan motosikal terbesar, tertua dan yang paling aktif di Kepulauan Borneo.

Sepanjang 2014-2016, PEMODA telah menganjurkan dan mengikuti lebih daripada 50 acara permotoran dan riadah di samping projek-projek amal, keagamaan dan sukan di dalam dan di luar negara. – Mohammad Abdullah

ARTIKEL YANG SAMA