PEMODA semai kesedaran keselamatan

PEMODA semai kesedaran keselamatan

Oleh Mohammad Abdullah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA), baru-baru ini, menyambut Hari Kesedaran Keselamatan Bermotosikal dan mengisytiharkan 29 November sebagai hari kesedaran dalam majlis yang berlangsung di Hotel Times, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Pengangkutan Darat, Dr Haji Sufry bin Haji Awang Ladi, yang turut menyempurnakan perasmian laman web PEMODA (www.pemodabrunei.com) dan Instagram pemodabrunei.

Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian tampalan lencana (patches) kepada ahli-ahli PEMODA yang menyertai program asas Marsyal PEMODA 2015 dan ‘Rock and Roar 2015’ (Malaysia – Thailand).

Menurut Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad, Program Kesedaran Keselamatan Bermotosikal itu bertujuan untuk terus memberi kesedaran kepada para penunggang motosikal khususnya dan para pengguna jalan raya yang lain pada amnya.

“Para pengguna jalan raya mestilah memupuk rasa kesedaran agar sentiasa beringat dan berhati-hati di jalan raya serta mematuhi undang-undang juga peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.”

Haji Sufry merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan Bermotosikal.
Haji Sufry merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan Bermotosikal.
Penyampaian lencana tampalan kepada ahli PEMODA.
Penyampaian lencana tampalan kepada ahli PEMODA.

Beliau juga menyeru ahli-ahli untuk sentiasa mengingati Allah dan meminta pertolongan dan perlindungan daripadaNya untuk mengelakkan sebarang kecelakaan di jalan raya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan statistik kemalangan motosikal, yang menurutnya, 35 kali ganda berbanding kenderaan lain dan 56 peratus risiko kemalangan membawa maut.

Punca kemalangan motosikal terdiri daripada 50 peratus yang tidak melibatkan kenderaan lain, 44 peratus terjadi pada hujung minggu dan 26 peratus melibatkan penunggang yang tidak mempunyai lesen sah.

Acara anjuran bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan disokong oleh Hotel Times itu bertepatan sempena Hari Memperingati Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia yang diraikan pada minggu pertama bulan November yang mana Negara Brunei Darussalam mulai menyertai acara berkenaan pada tahun 2007.

Acara sehari itu antara lain memuatkan taklimat mengenai Asas Pertolongan Kecemasan yang telah disampaikan oleh Awang Kamsur bin Busra dan taklimat jelajah, serta taklimat Asas Keselamatan Bermotosikal yang disampaikan oleh Pengiran Haji Redzuan.

ARTIKEL YANG SAMA