PEMODA sertai BIIBBF ke-17

PEMODA sertai BIIBBF ke-17

Oleh Na’ila Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah memulakan jelajah bermotosikal ke negeri di bawah bayu, Sabah bagi menyertai acara Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) ke-17 yang bermula Jumaat lalu sehingga hari ini.

Konvoi jelajah yang bermula dari Dermaga Diraja, di ibu negara itu disertai oleh kira-kira 80 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan dan diketuai oleh Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad.

Majlis pelepasan yang berlangsung pagi ini dihadiri oleh Pengarah Urusan Syarikat BSM, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku tetamu kehormat bagi acara pelepasan konvoi.

Yang Di-Pertua PEMODA ketika ditemui melahirkan rasa berbesar hati atas tajaan yang diberikan oleh Syarikat BSM yang menunjukkan keprihatinan kepada kemajuan industri permotoran di negara ini.

“Mudahan kerjasama yang diberikan oleh kedua belah pihak akan berterusan bukan sahaja pada masa ini, tetapi juga di masa yang akan datang,” tambahnya lagi.

Pengarah Urusan Syarikat BSM ketika menyerahkan baju tajaan BSM kepada Yang Dipertua PEMODA.
Pengarah Urusan Syarikat BSM ketika menyerahkan baju tajaan BSM kepada Yang Dipertua PEMODA.

Jelajah tersebut merupakan aktiviti tahunan PEMODA sejak festival ini mula diadakan 17 tahun yang lalu secara bergilir-gilir di seluruh kepulauan Borneo.

Pada tahun ini, Sabah dipilih menjadi tuan rumah dalam penganjuran festival yang berprestij dan terbesar di seluruh kepulauan Borneo ini.

Seramai 1,000 orang pemilik dan pengemar motosikal berkuasa tinggi dari seluruh kepulauan Borneo dan rantau ini dijangka menyertai festival tersebut.

Penyertaan PEMODA selaku salah sebuah persatuan induk penganjur festival ini akan membantu mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang sangat unik untuk diterokai.

Di samping itu juga, jelajah sejauh 700 Kilometer ini turut memberi peluang kepada PEMODA untuk mempromosikan Shell Advance Motorcycle Oils yang merupakan produk terbaru Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) selaku penaja jelajah.

Shell Advance merupakan minyak pelincir yang dapat menjamin serta memberi perlindungan maksima dengan teknologi Shell PurePlus, iaitu revolusioner, di mana gas diproses ke cecair (GTL) dan ia merupakan hasil daripada penyelidikan lebih dari 40 tahun yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA