Pemogok lapar dipaksa makan

Pemogok lapar dipaksa makan

BAITULMUQADDIS, 31 Julai (AFP) – Parlimen Israel semalam meluluskan satu undang-undang bagi membenarkan banduan yang melancarkan mogok lapar dipaksa untuk makan jika didapati tindakan itu membahayakan kesihatan mereka, kata seorang jurucakap.

Undang-undang yang bertujuan untuk menghalang banduan Palestin melakukan mogok lapar itu pada dasarnya telah diluluskan oleh Kabinet Israel pada Jun 2014 berikutan mogok lapar yang dilakukan secara besar-besaran menyebabkan puluhan orang dimasukkan ke hospital.

Biarpun, undang-undang itu tidak secara khusus menyebut tahanan Palestin, Menteri Keselamatan dalam Negeri, Gilad Erdan yang mengemukakan undang-undang itu berkata, tindakan tersebut perlu kerana pendekatan mogok semasa di dalam penjara menjadi salah satu ancaman kepada Israel.

“Undang-undang dengan sokongan 40 daripada 46 undi itu akan digunakan apabila doktor mengesahkan bahawa tindakan banduan terbabit boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan nyawanya,” kata anggota parti Likud, David Amselam.

Bagaimanapun, anggota parti pembangkang mengecam tindakan terbaharu itu dengan menyifatkan undang-undang berkenaan bertujuan menyeksa lagi banduan Palestin sekali gus menghapuskan perjuangan sah mereka.