Pemogok lapar Palestin dibebaskan

Pemogok lapar Palestin dibebaskan

BAITULMAQDIS, 12 Julai (AFP) – Israel semalam membebaskan seorang tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama 56 hari sementara ditahan selama setahun tanpa dakwaan, kata seorang jurucakap hari ini.

“Khader Adnan, yang ditempatkan di bawah penahanan tadbir, telah dibebaskan,” beritahu Sivan Weizman, jurucakap untuk Pihak Berkuasa Penjara Israel, kepada AFP.

Adnan, 37, telah ditahan selama setahun di bawah penahanan tadbir, yang membenarkan pemenjaraan tanpa dakwaan untuk tempoh yang boleh diperbaharui selama enam bulan.

Mogok lapar yang dilancarkan oleh beliau, yang hampir-hampir membunuhnya pada masa ia berakhir pada bulan lalu, telah mencetuskan amaran daripada kerajaan Palestin bahawa Israel harus bertanggungjawab atas nasib beliau.

Adnan menamatkan mogok laparnya pada 28 Jun selepas Israel bersetuju untuk membebaskannya, di mana beliau telah dipindah ke sebuah hospital di Israel.

Beliau ditahan setahun lalu, sejurus selepas penculikan dan pembunuhan tiga remaja Israel, yang mencetuskan penahanan ratusan penduduk Palestin di Tebing Barat.

Sebelum ini beliau telah mengadakan mogok lapar selama 66 hari pada 2012 untuk membantah terhadap penahanannya. Beliau dibebaskan pada akhir bantahan, di mana beliau telah memakan vitamin dan garam.

Kali ini, beliau enggan menelan apa-apa kecuali air.

Kerajaan Palestin telah mengingatkan bahawa Israel bertanggungjawab atas nasib beliau, sementara kerajaan Israel pada pertengahan Jun memperbaharui usaha untuk penggubalan undang-undang yang membenarkan tahanan diberi makanan secara paksa apabila nyawa mereka terancam.

Pemimpin Palestin menghantar satu laporan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada minggu lalu yang termasuk layanan tahanan Palestin dalam penjara Israel.