Pemprosesan teknologi terkini kekalkan kualiti biji koko

Pemprosesan teknologi terkini kekalkan kualiti biji koko

KOTA KINABALU, 28 Ogos – Pusat pemprosesan koko menggunakan teknologi pengeringan termal solar di Kampung Napong Dua, Paginatan di Ranau, akan menyediakan kemudahan pengeringan biji koko yang cepat dan bersih dengan mengekalkan kualiti biji koko.

Nik Marzuriani Nik Mohamed, perunding projek yang diusahakan SIRIM Bhd, berkata kerja-kerja mendirikan rumah berpenebat telah bermula bulan lepas dan projek itu dijangka dilaksanakan Disember ini.

“Kami berharap proses pengeringan biji koko menggunakan teknologi ini boleh dilakukan dalam tempoh 12 jam hingga dua hari berbanding tiga hingga lima hari menggunakan kaedah pengeringan konvensional secara terbuka.

“Rumah berpenebat ini boleh memuatkan 250 kilogram biji koko untuk proses pengeringan pada satu masa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Nik Marzuriani berkata struktur tempat pengeringan itu akan dilengkapi dengan panel solar pada bumbung, yang akan mengumpul tenaga dan menyalurkan haba ke dalam rumah untuk proses pengeringan.

Teknologi ini boleh membantu mengatasi masalah kekurangan biji koko pada masa depan kerana ia dianggap komoditi bermusim yang mempunyai potensi eksport yang tinggi, katanya.

Malaysia mengeksport koko ke Amerika Syarikat, Jepun, China, Kanada dan Australia.

Berikutan permintaan yang semakin meningkat bagi produk halal dalam kalangan masyarakat Islam, Nik Marzuriani berkata teknologi pengeringan solar ini akan menyediakan ruang untuk pensijilan halal biji koko kering.

“Oleh kerana proses pengeringan dilakukan dalam persekitaran yang terlindung, ia tidak terdedah kepada pencemaran luaran.

“Oleh itu, biji koko yang diproses dalam persekitaran ini adalah bersih, yang penting untuk mendapatkan pensijilan halal,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat menghargai sumbangan SIRIM kepada pembangunan berterusan industri koko di Sabah, khususnya di Ranau.

Siringan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paginatan, berkata pusat itu akan menggalakkan lebih ramai lagi menceburi industri koko. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA