Pemuda UMNO Semporna terus komited tarik pengundi muda

Pemuda UMNO Semporna terus komited tarik pengundi muda

KOTA KINABALU, 22 Ogos – Pemuda UMNO bahagian Semporna komited untuk memastikan gerak kerja pergerakan itu diteruskan dan berjalan lancar, terutama dalam usaha menarik pengundi muda, kata pemangku Ketua Pemuda UMNO bahagian Semporna Ahmad Marzuki Nasir.

Ahmad Marzuki, 37, yang baru mengangkat sumpah jawatan itu selepas dipilih oleh anggota jawatankuasa Pemuda UMNO Semporna secara konsensus, berkata ini penting sebagai usaha memastikan golongan muda menyertai UMNO sekali gus bersama-sama memperkukuh perjuangan parti.

“Pendekatan saya ialah bagaimana mengambil hati pengundi muda. Untuk itu, saya akan masuk ke kawasan kampung selepas persidangan Pemuda UMNO Bahagian.

“Saya juga ingin menekankan pentingnya Pemuda UMNO Semporna menggerakkan unit media baharu memandangkan golongan muda lebih cenderung menggunakan media sosial dan unit ini kena bekerja keras untuk mendekati mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah di Bangunan UMNO Sabah di sini Isnin.

Pada 14 Ogos, anggota jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Semporna memilih Ahmad Marzuki, yang sebelum ini memegang jawatan Penolong Bendahari Pemuda UMNO Semporna, untuk menjadi pemangku ketua pemuda UMNO bahagian itu. Beliau menggantikan Mohd Azis Jamman yang meletak jawatan dan keluar parti baru-baru ini.

Ahmad Marzuki berkata amanah diberi kepadanya itu cukup besar dan mencabar kerana beliau perlu bermula daripada awal serta menyusun semula strategi dan gerak kerja bersama anggota jawatankuasa Pemuda yang baru dibentuk. – Bernama