Pemulihan ekonomi global masih rapuh

Pemulihan ekonomi global masih rapuh

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Proses pemulihan ekonomi global masih disifatkan rapuh dan tidak menentu (uncertain), yang mana walaupun positif, ia adalah tidak seimbang terutama di antara negara-negara ekonomi utama dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan World Economic Outlook Update keluaran Januari 2016, telah menyemak semula dan menurunkan ramalan pertumbuhan dunia bagi tahun 2016 kepada 3.4% berbanding unjuran awal sebanyak 3.6%.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua) berkata, proses pemulihan ekonomi global terus menghadapi cabaran berikutan kelembapan beberapa ekonomi utama dunia yang sebahagiannya merupakan antara pengguna utama minyak dunia; ketegangan geopolitik; persaingan pasaran di antara pembekal-pembekal utama dunia; dan sebagainya.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata, dengan kadar pengeluaran minyak negara yang rendah pada tahun 2015, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) telah mengemaskinikan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2015 kepada negatif 1.1%.

Bagi tahun 2016, ujarnya, ekonomi negara diunjur akan berkembang pada kadar 2.3%, dengan sektor minyak dan gas dijangka mencatatkan pertumbuhan pada kadar 3.0% manakala sektor bukan minyak dan gas dijangka berkembang sebanyak 1.3%.

Antara yang hadir mendengarkan pembentangan tersebut.
Antara yang hadir mendengarkan pembentangan tersebut.

pg01_160309_MMN-_Logo

Walau bagaimanapun, sumbangan sektor bukan minyak dan gas kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) masih lagi di tahap yang minima. Oleh itu, ujar beliau lagi, bagi mengimbangi sumbangan sektor ini, usaha bersepadu adalah perlu untuk dipertingkatkan bagi mempelbagaikan aktiviti dan sumber perekonomian agar pertumbuhan negara akan lebih mapan dan progresif.

Bagi mencapai hasrat tersebut, amatlah perlu bagi semua pihak untuk sama-sama meningkatkan usaha, lebih berinisiatif, serta keluar dari zon selesa (comfort zone) masing-masing untuk meningkatkan produktiviti Negara, sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta.

Dengan prospek ekonomi global dan negara, terutama pasaran minyak global yang tidak menentu pada masa ini, Anggaran Hasil Kerajaan bagi Tahun Kewangan 2016/2017 diunjurkan berjumlah $1,764,930,000 sahaja.

Yang Berhormat Pehin berkata, unjuran ini adalah berasaskan andaian yang lebih konservatif bagi membolehkan kerajaan mengurus kewangannya dengan berhemah dan berhati-hati. Unjuran ini mengambil kira hasil sektor minyak dan gas dianggarkan sebanyak $854 juta sahaja. Manakala itu, hasil sektor bukan minyak dan gas dianggarkan stabil sebanyak kira-kira $910 juta, iaitu 51.6% daripada anggaran kutipan keseluruhan.

Bagi memastikan keadaan fiskal masa kini dan akan datang dapat ditangani secara berkesan, ujarnya, beberapa langkah reformasi telah dan akan diambil. Semua inisiatif ini, walau bagaimanapun, amat memerlukan kerjasama penuh dan sokongan padu semua pihak untuk ianya berjalan lancar dan berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA