Pemuliharaan flora demi meningkatkan prestasi pelancongan

FAJARDO – Ketika barisan kru sibuk membersihkan kawasan yang dilanda Taufan Maria, sekumpulan kecil warga Puerto Rico dan ahli pemuliharaan antarabangsa bekerjasama memastikan alam sekitar tetap terpelihara.

Ahli pemuliharaan alam sekitar dan sukarelawan bekerjasama untuk mengumpulkan bibit tumbuhan asli untuk mengembalikan kehijauan hutan dan berusaha untuk terus memelihara keadaan terumbu karang di Puerto Rico yang sangat terkenal dengan kecantikannya.

Pada 20 September lalu, pulau tersebut telah dilanda taufan tahap 4 dan telah menumbangkan sebanyak 1.2 bilion batang pokok dan memberikan impak buruk pada ratusan ribu terumbu karang di pulau itu.

Kekurangan sumber kewangan dan lebih memberikan keutamaan dalam memenuhi keperluan manusia telah membantutkan lagi proses pemeliharaan terumbu karang dan rancangan penanaman pokok di pulau tersebut.

Kini, Puerto Rico secara perlahan-lahan kembali bangkit melalui dana kewangan yang dikumpulkan serta usaha yang dilaksanakan oleh ahli pemuliharaan dalam memastikan bahawa flora di kawasan pulau tersebut akan tetap terus terpelihara dan terjaga.

Keadaan perairan di kepulauan Fajardo yang sangat bersih dan menenangkan serta sesuai dijadikan destinasi pelancongan. – AP

Salah seorang penyelam berusaha untuk memperbaiki struktur pada terumbu karang yang turut menerima impak setelah kawasan kepulauan Fajardo, Puerto Rico dilanda taufan pada September lalu. – AP
Ahli pemuliharaan dan sukarelawan terus giat untuk merawat terumbu karang yang banyak menerima kesan kerosakan di kawasan perairan Fajardo. – AP

“Kesan kerosakan daripada taufan Maria itu adalah pada tahap maksimum,” jelas Pengarah Ekologi Marin di Jabatan Sumber Asli Fajardo, Nilda Jimenez.

Proses pemulihan pada alam sekitar ini jelas memiliki kepentingan yang tersendiri kerana Puerto Rico memang cukup terkenal dengan kecantikan alam sebagai daya tarikan dalam meningkatkan sektor pelancongan sekali gus ekonomi negara tersebut.

Malah, ahli-ahli pemuliharaan juga menyedari kepentingan terumbu karang yang memang menjadi habitat kepada banyak spesies marin seperti ikan merah, udang kara dan sotong.

Minggu lalu, sekumpulan penyelam telah berusaha untuk berkumpul di kawasan perairan di pantai timur laut Fajardo, sebuah destinasi pelancongan popular bagi pelancong yang sangat teruja untuk melihat terumbu karang yang berwarna-warni dan menjadi habitat kepada hidupan marin.

Terdapat ratusan terumbu karang pada variasi saiz besar hingga kecil di kawasan perairan tersebut, namun ia tidak berada dalam keadaan sempurna.

Lengkap membawa bersama sebaldi simen, penyelam kelihatan berusaha untuk mencantumkan semula bahagian terumbu karang yang telah dikenal pasti menerima kesan buruk berikutan daripada taufan tersebut.

Di samping itu, penyelam-penyelam sukarelawan ini turut gigih membersihkan algae pada bahagian terumbu karang itu demi memastikan keterampilannya tetap terjaga.

Pengurus Habitat Kumpulan Para La Naturaleza, Luisa Rosado menjelaskan sebanyak 750,000 pokok direncanakan untuk ditanam di pulau itu dalam tempoh tujuh tahun bagi memastikan kehijauan hutannya kekal terpelihara. – AP

Anak-anak benih dikumpulkan dan ditanam semula bagi memastikan kawasan hutan di Puerto Rico terus terpelihara. – AP

“Jika anda menyedari bahawa ia adalah satu kepentingan untuk memelihara fauna itu, maka ia adalah ibarat satu tanggungjawab penting untuk dilaksanakan bagi memastikan keadaan alam sekitar tetap terjaga,” jelas Jim Ritterhoff yang merupakan seorang Pengarah Eksekutif Force Blue, sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang terlibat dalam projek pemuliharaan terumbu karang.

Kumpulan ini telah mengambil bahagian pada projek bernilai AS$1.5 juta yang sebahagian besar dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dengan bantuan dari Ocean Conservancy,sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan AS untuk membantu memulihkan sekitar 100 ke 300 terumbu karang setiap hari di Puerto Rico dan dijalankan selama dua bulan.

Wilayah timur laut pulau tersebut jelas menjadi tumpuan di mana terumbu karang daripada spesies elkhorn dan staghorn banyak menerima kesan kerosakan akibat taufan yang melanda pada September lalu.

“Lebih baik usaha pemuliharaan ini dijalankan dengan lebih cepat kerana hakikatnya terdapat lebih dari 10,000 terumbu karang yang memerlukan perhatian lanjut sekali gus wajar untuk diselamatkan,” jelas Sean Griffin, ahli Ekologi Pemulihan Terumbu Karang di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera AS.

Di rumah hijau yang dikendalikan oleh kumpulan bukan berasaskan keuntungan, Para La Naturaleza di Bandaraya San Juan, sukarelawan dan pekerja giat memerhatikan proses perkembangan tunas pokok yang direncanakan untuk ditanam secara meluas di kawasan pulau tersebut.

“Sebanyak 1,900 batang pokok telah berjaya ditanam setakat bulan Januari dan usaha tersebut akan terus dipergiatkan untuk mencapai matlamat bagi penanaman sebanyak 750,000 pokok di pulau ini dalam tempoh tujuh tahun akan datang,” jelas pengurus habitat kumpulan itu, Luisa Rosado.

Biji benih pokok Eugenia merupakan antara jenis tanaman yang jarang ditemui dan terus giat untuk dikembangkan oleh sekumpulan ahli pemuliharaan. – AP
Taufan Maria yang melanda Puerto Rico telah memberikan impak kerosakan terutama di kawasan kepulauan Fajardo. – AP

“Ini adalah sebuah projek yang sukar untuk dinilai hasilnya kerana ia mungkin sahaja boleh disaksikan pada tempoh masa sekarang hingga 100 tahun akan datang,” tambah Rosada.

Ia juga merupakan satu projek intensif di mana para pekerja akan kembali dalam tempoh tiga bulan sekali pada tahun pertama bagi memastikan perkembangan tumbuh-tumbuhan tersebut bergerak dengan lancar.

Rosado turut menjelaskan bahawa lebih ramai sukarelawan juga diperlukan untuk memastikan projek ini berjalan dengan lancar.

Kadang-kadang sukarelawan ini juga sangat bertuah apabila berjaya memperolehi biji benih di sebalik kesan runtuhan yang disebabkan oleh taufan itu.

Seorang lelaki dari bandar barat Lares telah membawa beberapa anak benih setinggi empat kaki dan biji benih dikenali sebagai aceitillo yang diklasifikasikan sebagai spesies tumbuhan yang jarang ditemui.

Hasil penemuan tersebut juga secara tidak langsung turut memberi harapan baharu kepada Penyelaras Pengurus Rumah Hijau di Para La Naturaleza, Manuel Sepulveda.

“Jumlah simpanan biji benih pokok yang jarang ditemui di Puerto Rico dan Caribbean ini masih berada pada paras yang rendah dan kami masih memerlukan lebih banyak lagi,” jelas Sepulveda.

Usaha ini secara tidak langsung memberikan makna yang tersendiri pada Rosado.

“Ia merupakan tugas yang dilakukan secara kerjasama dan projek yang dilaksanakan ini adalah asas kepada pemulihan pulau ini,” jelas Rosado. – AP