Pemuliharaan tenggiling di Vietnam

Pemuliharaan tenggiling di Vietnam

VIETNAM – Seekor tenggiling yang diberikan nama, Mi Bo semakin hari kelihatan semakin baik. Sebelum ini, tenggiling itu telah dibawa ke sebuah pusat menyelamat di Vietnam setelah kehilangan kakinya selepas ia terputus dalam sebuah perangkap.

Manakala anggota badannya yang lain mengalami cedera-cedera ringan dan apa yang menyedihkan berkemungkinan besar tenggiling itu tidak akan mampu kembali lagi di hutan disebabkan kecederaan yang dialaminya itu. Namun apa yang pasti tenggiling itu adalah antara yang bertuah berjaya diselamatkan oleh para pencinta hidupan liar di Vietnam.

Tenggiling itu berjaya diselamatkan daripada pemburu haram dan Mi Bo serta berpuluh-puluh tenggiling yang lain sedang dirawat dan dijaga oleh pihak pemuliharaan di Vietnam yang mana ketika ini sedang berjuang untuk menyelamatkan haiwan itu daripada ancaman kepupusan. Permintaan daging tenggiling semakin tinggi terutama sekali di rantau Asia dan digunakan dalam perubatan tradisional serta dianggap sebagai salah satu makanan istimewa.

Dianggarkan sekitar satu juta haiwan tersebut yang mana dikenali sebagai ‘Tenggiling bersisik’ telah ditangkap dari hutan Asia dan Afrika dalam tempoh satu dekad yang lalu. Situasi ini telah membawa haiwan tersebut ke lembah senarai spesies yang berisiko tinggi dalam ancaman kepupusan. Berukuran seperti seekor anjing kecil, tenggiling merupakan seekor haiwan yang tidak merbahaya di hutan dan ketika berada dalam keadaan terancam, haiwan ini akan membulat seperti bola berselindung di sebalik kulitnya. Situasi ini membolehkan para pemburu haram dengan mudah menangkapnya.

Situasi buruk ini merupakan satu agenda yang besar dalam perbincangan pembukaan utama persidangan hidupan liar di Hanoi baru-baru ini yang mana dihadiri sendiri oleh Putera William dari United Kingdom. Antara haiwan terancam ke arah kepupusan ketika ini ialah gajah dan juga badak. Di pusat penyelamat di Vietnam, sebuah pasukan terdiri daripada kakitangan dan sukarelawan telah bekerja sehingga lewat malam untuk menjaga sekitar 60 ekor tenggiling yang baru dan masih hidup. “Haiwan ini mempunyai peluang yang kedua dan masih lagi hidup dan haiwan ini seperti dilahirkan semula,” kata Pengarah Hidupan Liar, Vietnam, Nguyen Van Thai kepada wartawan AFP.

Ketika berada dalam keadaan terancam, haiwan ini akan membulat seperti bola berselindung di sebalik kulitnya. – AFP
Ketika berada dalam keadaan terancam, haiwan ini akan membulat seperti bola berselindung di sebalik kulitnya. – AFP

Sebelum ini, sekumpulan tenggiling telah dibawa ke pusat itu dan hampir mati setelah diletakkan di atas ais oleh pemburu haram yang mana pemburu ini beranggapan bahawa haiwan ini akan bertambah segar. Apa yang menyedihkan, tenggiling yang diburu oleh pemburu haram akan dipam dengan sejenis cecair membuatkan haiwan ini kelihatan gemuk kepada bakal pembeli. Para doktor haiwan bekerja keras dalam menyelamatkan haiwan ini. “Saya dalam pada masa yang sama merasa kasihan, sedih dan kadang kala saya marah dan sakit hati,” kata seorang doktor, Lam Kim Hai kepada wartawan AFP. Doktor itu juga bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan Mi Bo dalam keadaan yang baik.

Lazat dan berkhasiat

Walaupun perdagangan tenggiling telah diharamkan di Vietnam dan pihak kerajaan Vietnam telah meletakkan haiwan tersebut dalam keadaan terancam dalam buku ‘merah’ mereka. Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang namun undang-undang tersebut masih lagi lemah. Pihak berkuasa telah membuat beberapa tangkapan ke atas beberapa penjual yang menjual tenggiling dan merampas haiwan itu. Dalam industri perubatan tradisional yang berkembang pesat di Vietnam, pemburuan binatang itu masih berleluasa dan ia adalah sumber yang utama dalam perubatan yang dilakukan di negara itu.

Sebagaimana yang berlaku di China, daging tenggiling akan dikukus, direbus dan dipanggang. Dagingnya akan dimakan pada majlis-majlis khas dan kebanyakannya dimakan oleh golongan kaya di Vietnam. Kebanyakan golongan kaya ini menghabiskan sekitar AS$1,000 untuk membeli daging tenggiling.

“Saya tidak peduli jika ia terletak dalam senarai merah, jika saya ada tetamu dan ingin memakan daging tenggiling, saya akan berusaha untuk mendapatkannya untuk mereka,” kata Vu Trong Phat, seorang peladang yang berusia 45 tahun kepada wartawan AFP di sebuah kelab tempatan di Vietnam.

Dianggarkan sekitar satu juta haiwan tersebut yang mana dikenali sebagai ‘Tenggiling bersisik’ telah dipetik dari hutan Asia dan Afrika dalam tempoh satu dekad yang lalu. – AFP
Dianggarkan sekitar satu juta haiwan tersebut yang mana dikenali sebagai ‘Tenggiling bersisik’ telah dipetik dari hutan Asia dan Afrika dalam tempoh satu dekad yang lalu. – AFP
Para doktor haiwan bekerja keras dalam menyelamatkan haiwan ini. – AFP
Para doktor haiwan bekerja keras dalam menyelamatkan haiwan ini. – AFP

Bagi sesetengah individu, darah daripada tenggiling bermanfaat tinggi dalam merawat dan menyembuhkan penyakit seperti mati pucuk, asma dan juga kanser. “Daging tenggiling adalah sangat lazat dan berkhasiat serta sangat baik untuk kesihatan anda manakala sisik tenggiling pula sangat baik untuk jantung dan juga peredaran darah.

Mana-mana kaum wanita yang tidak mempunyai air susu untuk anaknya, boleh disembuhkan dengan perubatan daripada tenggiling, ” kata Nguyen Van Thinh kepada wartawan AFP. Pelbagai spekulasi terhadap manfaat tenggiling terutama sekali di Vietnam. Memang menyedihkan jika banyak lagi tenggiling diburu untuk kepentingan mereka.

Kebanyakan masyarakat di Vietnam berkongsi kepercayaan bersama dengan China namun tidak ada kajian saintifik menyatakan bahawa tenggiling bermanfaat kepada perubatan sepenuhnya.

Ahli sains, tidak mengetahui jumlah sebenar tenggiling yang tinggal di hutan kerana naluri haiwan tersebut yang sememangnya pemalu dan sukar untuk dikesan. Namun para pakar semakin risau dan khuatir disebabkan oleh pemburu haram yang semakin meningkat setiap tahun di Vietnam.

Tembok kepada kepupusan

Dengan populasi liar yang semakin menurun, terdapat beberapa kekuatan sesetengah peniaga dalam menubuhkan ladang pembiakan tenggiling di Vietnam dan para penyokong pemuliharaan tenggiling sedikit merasa sangsi dengan kenyataan itu kerana khuatir usaha itu sebenarnya hanya benteng dan sebenarnya ada udang di sebalik batu. – AFP