Pemutihan batu karang Australia ‘memburuk’

Pemutihan batu karang Australia ‘memburuk’

SYDNEY, 20 Mac (AFP) – Pihak berkuasa Australia berkata hari ini pemutihan batu karang berlaku di Terumbu Sawar Besar yang disenaraikan di Tapak Warisan Dunia telah menjadi “teruk,” tahap amaran tertinggi, tatkala suhu laut menjadi panas.

Menteri Alam Sekitar Australia Greg Hunt berkata sementara pemutihan pada peringkat ini tidak seteruk seperti pada tahun 1998 dan 2002, juga kejadian berkaitan dengan El Nino, “ia menimbulkan kebimbangan di bahagian utara.”

“Terumbu itu adalah 2,300 km panjang dan tiga perempat bahagian bawahnya berada dalam keadaan baik, namun tatkala kami menuju ke kawasan utara, ia semakin terdedah kepada pemutihan,” kata Hunt selepas satu kunjungan ke beberapa buah kawasan yang terjejas hari ini, lapor Australian Broadcasting Corporation.

“Pada asasnya apa yang anda boleh lihat adalah tompokan pemutihan batu karang ketika anda menghampiri Pulau Lizard (terletak di Terumbu Sawar Besar).”

Pihak berkuasa Taman Marin Terumbu Sawar Besar berkata tahap respons tertinggi, yang digambarnya sebagai “pemutihan serantau yang teruk,” membenarkan mereka mempertingkat tinjauan untuk memahami apa yang sedang berlaku.

Hunt berkata kerajaan akan membiayai satu tinjauan ke atas 40 buah tapak di kawasan terumbu, yang telah pun disiasat pada September 2012 untuk menilai keadaan batu karang dan opsyen pemulihan yang berpotensi.

“Maklumat ini adalah penting untuk pemahaman terumbu masa depan berdasarkan kekerapan kejadian pemutihan batu karang dan siklon tropika yang diramalkan meningkat pada masa akan datang,” kata menteri dalam satu kenyataan.

Pemutihan adalah satu fenomena yang menukar batu karang kepada warna putih atau luntur warna mereka, sekali gus mengancam sumber biodiversiti, pelancongan dan perikanan.

ARTIKEL YANG SAMA