Pemuzik oud bakal tunjuk bakat

Pemuzik oud bakal tunjuk bakat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam akan menghoskan seorang pemuzik oud terkenal dan luar biasa hebatnya yang pernah memenangi Anugerah Muzik ARIA sebanyak tiga kali, Joseph Tawadros AM yang akan membuat persembahan di negara ini dalam acara malam pada 8 dan 9 Mac.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Australia, pada usia 32 tahun tahun, Joseph telah membuktikan dirinya sebagai seorang penghibur dan komposer oud (alat muzik berasal dari Timur Tengah dan sinonim dengan istilah gambus).

Beliau telah banyak menjelajah dan menjadi penghibur utama dalam persembahan-persembahan di Eropah, Amerika, Asia dan Timur Tengah, malah beliau juga merupakan artis rakaman prolifik yang telah mengeluarkan 12 album. Selain daripada oud, Joseph boleh memainkan pelbagai instrumen moden dan tradisional, dan kerap bekerjasama dengan artis-artis terkenal antarabangsa dalam jaz moden dan muzik dunia.

Menurut kenyataan itu lagi, Joseph juga telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan atas sumbangannya kepada bidang muzik Australia termasuk penerimaan masuk sebagai ahli Order of Australia dalam Anugerah Hari Australia 2016.

Bercakap dari Australia, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer dipetik sebagai berkata, “Joseph merupakan bakat luar biasa dan kami sangat teruja untuk mengalu-alukannya ke Brunei supaya beliau dapat mengongsikan kepakarannya sebagai penghibur, artis dan komposer bersama belia-belia Brunei. Beliau merupakan seorang duta unggul bagi Australia.”

Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi Australia mengalu-alukan orang ramai menyaksikan persembahan Joseph pada Persembahan Gala di Sekolah Antarabangsa Brunei pada 8 Mac ini dan persembahan malam yang kasual di The Collective’s Makerspace, Batu Bersurat pada 9 Mac.

Orang ramai yang ingin menyaksikannya perlu membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghantar e-mel ke austhicom.brunei@dfat.gov.au dan maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman Facebook www.facebook.com/AustraliainBruneiDarussalam.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Joseph boleh melayari laman sesawang www.josephtawadros.com.

ARTIKEL YANG SAMA