Pemuzik ternama kongsi pengalaman

Pemuzik ternama kongsi pengalaman

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Pemenang Anugerah ARIA (Australian Recording Industry Association Awards) sebanyak tiga kali dan ‘oudvirtuoso’ antarabangsa, Joseph Tawadros AM kini berada di Brunei dalam sesi lawatan dua hari bermula kelmarin sebagai tetamu bagi Suruhanjaya Tinggi Australia.

Hari ini beliau meluangkan masa bersama penuntut-penuntut Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) untuk memberikan pengalaman lebih dekat kepada para penuntut dan turut membuat persembahan di The Collective’s Makerspace, Batu Bersurat.

Kelas induk berkenaan telah memberikan pemuzik tempatan peluang untuk meluangkan masa bersama Joseph dalam persekitaran kumpulan kecil dan untuk bertanya tentang kerjayanya sebagai seorang ahli muzik profesional, termasuk mendapatkan tip bagi membangunkan suara seni mereka melalui penambahbaikan dan prestasi, serta komposisi dan kerjasama.

Shinny Chia, dari Collective berkata apabila ‘The Collective’ sangat teruja kerana dapat bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Australia dan menjadi hos di malam muzik yang menampilkan Joseph, artis antarabangsa yang berkaliber.

“Ruang kami bertujuan untuk menjadi hab kreatif untuk masyarakat tempatan peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran mereka,” jelas Shinny Chia lagi.

Joseph Tawadros ketika mengongsikan kepakarannya bersama penuntut-penuntut ISB, kelmarin.
Joseph Tawadros ketika mengongsikan kepakarannya bersama penuntut-penuntut ISB, kelmarin.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer berkata, “Joseph adalah duta yang besar bagi muzik dan budaya Australia. Dilahirkan di Mesir dan berpindah ke Australia sewaktunya masih kecil lagi, beliau merupakan contoh yang bagus bagi mempersembahkan masyarakat Australia yang pelbagai budaya (Australia’s multi cultural society) kepada orang-orang muda. Bakat beliau dalam membawa bersama pengaruh muzik dari Australia, Mesir dan lain-lain lagi adalah amat menarik, dan Suruhanjaya Tinggi Australia sangat gembira kerana dapat mengongsikannya dengan Brunei.”

Terdahulu, di hari pertamanya di Brunei pada 8 Mac 2016, Joseph telah meluangkan masa mengongsikan kepakarannya bersama penuntut-penuntut dan juga kakitangan di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Selain itu, beliau juga menampilkan diri di Kristal FM, serta menghiburkan orang ramai di teater baru ISB dengan komposisi originalnya dan kerjasama dengan warga Brunei, pemain dram jazz dari Australia, Andrew Gander.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai lawatan Joseph ke Brunei Darussalam, bolehlah melayari laman Facebook www.facebook.com/AustralianBruneiDarussalam.

ARTIKEL YANG SAMA