Penagih dadah bunuh ibu kandung

Penagih dadah bunuh ibu kandung

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah mengamuk dan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di kediaman mereka di Kondominium Jade, Bukit Indah, Ampang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata dalam kejadian kira-kira 3:15 pagi itu, suspek berusia 23 tahun itu bertindak menikam dan menetak ibunya yang berusia 49 tahun dengan parang.

Hamzah berkata selepas suspek membunuh ibunya, dia pergi ke Balai Polis Komuniti Bukit Indah, terletak kira-kira satu kilometer dari kondominium itu, sambil memegang parang yang digunakan untuk menetak ibunya.

“Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah, tiba di balai berkenaan dipercayai untuk menyerah diri namun dia yang berada dalam keadaan tidak terkawal telah bergelut dengan anggota polis.

“Namun polis berjaya mengawal suspek dan pada masa itu polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden bunuh berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Anggota polis mengusung mayat seorang wanita yang ditemukan di kediamannya di sebuah kondominium di Bukit Indah, Ampang kelmarin. – Bernama
Anggota polis mengusung mayat seorang wanita yang ditemukan di kediamannya di sebuah kondominium di Bukit Indah, Ampang kelmarin. – Bernama

Hamzah berkata hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek yang merupakan seorang penganggur mendapati suspek positif ganja.

Beliau berkata mayat mangsa ditemui di ruang tamu di unit kondominium itu dengan beberapa kesan kecederaan di badan dan leher.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

“Sekarang kami dalam proses mengesan waris mangsa berikutan hanya suspek dan ibunya sahaja tinggal di rumah itu. Mangsa seorang ibu tunggal, suami mangsa meninggal dunia semasa suspek masih kecil,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Ahmad Firdaus Raja Mohamed Affendi, 33, berkata dia telah tinggal berjiran dengan dua beranak itu sejak lima tahun lalu, dan insiden itu amat mengejutkannya kerana suspek adalah seorang yang peramah.

“Ibu suspek tidak begitu ramah, mungkin segan…tapi suspek seorang yang aktif bersukan, dia kerap pergi (main) futsal,” katanya.

Katanya sewaktu kejadian dia tidak mendengar sebarang perkara yang pelik dari unit tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA