Penaja BIBD CE ALAF terus bertambah

Penaja BIBD CE ALAF terus bertambah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Ekspedisi amal anjuran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk mempromosi pendidikan sepanjang hayat, BIBD CE ALAF 2015, menambah lagi senarai rakan penaja korporatnya dengan meraikan penyertaan beberapa lagi syarikat tempatan dan dari luar, sebagai Rakan Penaja Platinum.

Fajr Capital dari Dubai dan Silverlake dari Malaysia adalah dua syarikat asing terbaru yang menjadi rakan penaja utama dalam kempen amal BIBD yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Turut serta menandatangani sebagai rakan BIBD CE ALAF 2015 ialah stesen radio Kristal FM dan Radio Televisyen Brunei (RTB) yang masing-masing menjadi penyiar radio dan televisyen rasmi acara yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 25 Oktober ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Ja’afar pada persidangan akhbar bagi meraikan penyertaan beberapa syarikat korporat sebagai rakan penaja aktiviti amal tahunan itu, yang diadakan di Bangunan Ibu Pejabat BIBD, di ibu negara, hari ini.

Gambar ramai rakan-rakan korporat yang turut serta dalam penajaan BIBD CE ALAF 2015.
Gambar ramai rakan-rakan korporat yang turut serta dalam penajaan BIBD CE ALAF 2015.

Pada penganjuran tahun ini, BIBD juga mengumumkan penyertaan rakan penaja baru, Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB) yang bersetuju menyumbangkan Pelan Pendaftaran setahun, 60 unit pelan pascabayar serta telefon bimbit sebagai hadiah cabutan bertuah, di samping kemeja-T untuk larian.

Syarikat penyedia khidmat komunikasi mudah alih itu juga telah menyumbangkan khidmat tenaga manusia sebagai kakitangan sukarela ekspedisi amal itu nanti.

Pusat Pemulihan Strok Neurosains Brunei (BNSRC) bersama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) mengambil bahagian penyokong kuat acara amal itu dengan menganjurkan pertunjukan ‘Broadway’ berjudul ‘Sebuah Perjalanan’ sebagai salah satu aktiviti berkumpulan terapiutik pesakit strok dan kanser.

Turut menyumbang ialah rakan penerbangan rasmi, Penerbangan Diraja Brunei (RB), yang akan menyediakan tiket penerbangan pergi balik kelas perniagaan ke Melbourne dan Bangkok kepada para pemenang acara kategori larian 21 kilometer dan 10 kilometer bagi lelaki dan wanita Brunei.

Menurut Hajah Nurul Akmar, sehingga hari terakhir pendaftaran, pihak penganjur telah mencatat sejumlah 5,200 penyertaan bagi semua kategori ekspedisi amal itu, termasuk kira-kira 100 penyertaan peserta antarabangsa dari 15 negara asing.

Beliau menyuarakan rasa gembira kerana sokongan yang diberikan oleh badan korporat serta kerajaan melalui sumbangan hadiah dan tenaga untuk sama-sama menjayakan acara itu.

ARTIKEL YANG SAMA