Penaja minta FIFA buat perubahan

Penaja minta FIFA buat perubahan

LOS ANGELES, 2 Dis (AFP) – Penaja utama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin menggesa badan induk itu melakukan pembaharuan secara menyeluruh serta pengawasan bebas dengan menegaskan hanya ‘perubahan budaya’ boleh mengembalikan kepercayaan terhadap organisasi itu pada masa depan.

Menerusi surat terbuka bersama yang dihantar kepada badan induk bola sepak dunia itu, pihak terbabit seperti AB InBev, adidas, The Coca-Cola, McDonald dan Visa menggesa Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu untuk melaksanakan pembaharuan bagi meningkatkan ketelusan ketika pertemuan di Zurich, hari ini.

“Kami tahu yang kamu, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, selepas ini akan menimbangkan senarai perubahan yang mensasarkan untuk mengukuhkan pentadbiran FIFA,” kata surat berkenaan.

“Kami menggesa anda untuk menerima perubahan yang positif dan turut mengakui ini adalah satu daripada langkah ke arah mewujudkan masa depan untuk FIFA yang lebih dipercayai.

“Ketelusan, tanggungjawab, menghormati hak asasi manusia, integriti, kepimpinan dan kesaksamaan jantina adalah penting untuk masa depan FIFA. Pembaharuan boleh menetapkan rangka kerja yang sesuai untuk ciri-ciri ini, tetapi perubahan budaya juga diperlukan.

“Perubahan budaya perlu bermula dalam FIFA dan menapis melalui konfederasi dan persatuan dalam FIFA.”

Penaja itu berkata, sekalipun Jawatankuasa Pembaharuan FIFA sudah membuat kemajuan ‘positif’ mereka “masih percaya apa-apa pembaharuan hendaklah tertakluk kepada pengawasan bebas.”

Jurucakap FIFA berkata, penaja akan memainkan ‘peranan penting dalam proses perubahan.’