Penaja mula dekati Sharapova

Penaja mula dekati Sharapova

LONDON, 6 Okt – Maria Sharapova memperoleh berita gembira berganda apabila kalangan penaja korporat mengesahkan komitmen mereka semula ke atas bintang tenis Rusia itu.

Pemain berusia 29 tahun itu dibenar kembali ke gelanggang April tahun depan selepas Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS) pada Selasa lalu memutuskan pengurangan penggantungan dua tahun kepada sembilan bulan.

Pada Mac lalu, Sharapova dikejutkan apabila ujian doping menunjukkan dia positif mengambil meldonium pada Terbuka Australia, sekali gus menyaksikan tindakan penggantungan oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa yang menyebabkan beberapa penaja utamanya mula menjauhi pemain tenis itu.

Pembuat jam terkemuka Swiss, Tag Heuer memutuskan hubungan dengan bekas pemain nombor satu dunia itu manakala Porsche, sebahagian unit Volkswagen AG, adalah firma korporat dunia yang menggantung sementara hubungan dengan Sharapova.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah Selasa lalu menyaksikan pembuat kereta terkemuka Jerman itu mengesahkan untuk berunding dengan Sharapova.

Nike Inc, jenama pakaian sukan terbesar dunia juga menggantung kerjasamanya dengan Sharapova selepas keputusan ujian doping Mac lalu dan berkata, mereka akan menyambung semula kerjasama dengan pemain itu selepas menamatkan penggantungan selama dua tahunnya.

Jenama air mineral, Evian dan pembuat raket, Head, yang sejak sekian lama menaja Sarapova juga mengeluarkan kenyataan untuk kembali bersama pemain itu. – AFP