Penalti seperti judi – Van Gaal

Penalti seperti judi – Van Gaal

LONDON, 29 Okt (Reuters) – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengakui kerisauannya terhadap pemain-pemainnya yang tiada penyudah tajam di depan pintu gol selepas tersingkir dalam saingan Piala Liga pusingan keempat kepada Middlesbrough semalam.

United tewas 3-1 menerusi penentuan penalti setelah terikat tanpa jaringan dalam tempoh permainan sebenar di Old Trafford.

Kedudukan tanpa jaringan sebelum penentuan penalti itu menyaksikan mereka kini gagal merekodkan gol dalam tempoh 238 minit dalam aksi domestik.

Malah pemain antarabangsa England Wayne Rooney, Michael Carrick dan Ashley Young gagal merakam sebarang gol dalam saingan itu.

Louis van Gaal. – AFP
Louis van Gaal. – AFP

“Sudah tentu saya risau apabila mereka gagal menggunakan peluang di depan gol. Dalam bola sepak, hanya menjaringkan gol sahaja penting. Kami telah bermain dua perlawanan (0-0) yang sebenarnya kami boleh mendapatkan jaringan,” jelas Van Gaal.

“Kami mendapat peluang mudah di depan penjaga gol mereka. Apabila kamu tidak menamatkan peluang itu, ia memang susah untuk menang.

“Kamu boleh cakap kami tidak bertuah kerana kami mempunyai peluang baik dan perlu merebut tuah itu. Kami tidak berbuat demikian kerana kami tidak menjaringkan gol. Tetapi saya tahu dalam bola sepak apa sahaja boleh berubah.

“Pemain saya sudah memberikan yang terbaik. Penalti adalah satu perjudian- anda tidak akan tahu”.