Penambahbaikan perlu persetujuan

Penambahbaikan perlu persetujuan

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 20 Mac – Mana-mana entiti swasta yang menunjukkan minat untuk menambah baik Tamu Geraineka di Lumut perlu dibawa ke meja perbincangan terlebih dahulu ke hadapan pihak-pihak berkepentingan yang mempunyai tanggungjawab ke atas tamu tersebut sebelum bersetuju bagi mana-mana pelan cadangan yang dibentangkan kepada mereka.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Lumut I, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad menekankan perkara ini semasa ditemui Media Permata, hari ini, bagi menjelaskan isu mengenai kekurangan aktiviti jualan di sana yang mendapat prihatin masyarakat awam dalam satu mesej viral yang juga menyatakan bahawa ahli-ahli perniagaan swasta menunjukkan minat untuk menambah baik tamu di sana.

Tamu Geraineka yang dimaksudkan itu telah dibuka sekitar tahun 2010 dan mempunyai 11 buah pondok untuk peniaga-peniaga kecil berjual sayur-sayuran, ayam, daging dan makanan laut, di mana tempat tersebut kurang mendapat sambutan oleh para penjual dan berasa terbiar oleh masyarakat di sini.

“Memang terdapat beberapa pihak yang berminat namun belum ada sebarang ketetapan atau perjanjian yang dibuat mengenai tempat tersebut,” ujarnya sambil menambah, mana-mana cadangan yang dihadapkan kepada mereka (pihak-pihak yang berkepentingan) perlu dilihat secara teliti serta dibincangkan bersama.

Tamu Geraineka yang kurang mendapat sambutan penduduk sekeliling.
Tamu Geraineka yang kurang mendapat sambutan penduduk sekeliling.

Paling penting, ia mendatangkan manfaat kepada semua pihak termasuk penduduk-penduduk di sekitar Mukim Liang jika sebarang idea tersebut dipertimbangkan.

Namun pada masa yang sama, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee berkata, inisiatif menghidupkan semula Tamu Geraineka juga telah diadakan beberapa kali sebelum ini dengan mengadakan acara-acara menarik bagi menambat semula hati penjual-penjual di sini dan beliau juga mengalu-alukan sebarang idea daripada orang ramai bagi mengembalikan wajah Tamu Geraineka sebagai tempat tumpuan penjual dan pembeli yang tinggal berdekatan.

Tamu Geraineka dibina oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) sebagai satu inisiatif kemasyarakatan semasa Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) dibina berdekatan dengan lokasi tamu tersebut.