Penambahbaikan Skim KWSP faedah persaraan kepada pencarum

Penambahbaikan Skim KWSP faedah persaraan kepada pencarum

KUALA LUMPUR – Dua pengumuman penting Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini memberi khabar gembira kepada 14.55 juta pencarumnya terutama 6.79 juta pencarum aktif bagi merancang simpanan persaraan.

Selain memaklumkan mengenai pengekalan pengeluaran caruman ahli pada usia 55 tahun, kewujudan akaun baharu iaitu Akaun Emas untuk simpanan persaraan kedua cukup melegakan terutama bagi mereka yang berumur lebih 55 tahun yang masih bekerja. Langkah ini adalah penambahbaikan Skim KWSP yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya.

Menyambut baik

Bagi Mohd Azman Mahmud, 53, pengumuman yang dibuat KWSP cukup melegakan. Sebagai seorang pegawai di sebuah bank tempatan, beliau sudah membuat perancangan awal untuk persaraannya yang berbaki tujuh tahun lagi. Beliau berhasrat mengeluarkan wang simpanan KWSP apabila mencapai usia 55 tahun dan perkara pertama yang ingin dilakukan ialah membuat pelaburan yang lebih menjamin masa hadapan.

“Selain ingin menyelesaikan hutang rumah, saya telah melihat beberapa pelaburan yang ada di pasaran bagi menggandakan simpanan yang ada,” katanya yang akan bersara pada usia 60 tahun. Menyambut baik penubuhan Akaun Emas, katanya, ahli mendapat manfaat daripada kesan penggandaan menerusi dividen tahunan selama lima tahun lagi selepas umur 55 tahun.

Seorang pengunjung melintasi logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru, di Bangunan KWSP. – Bernama
Seorang pengunjung melintasi logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru, di Bangunan KWSP. – Bernama

Akaun emas

Menyediakan simpanan persaraan yang mencukupi pada usia 60 tahun, Akaun Emas dapat memberi penyelesaian terbaik yang disediakan KWSP bermula 1 Jan tahun hadapan. Sekurang-kurangnya dalam masa lima tahun terdapat tambahan simpanan untuk persaraan mereka setelah dibenarkan membuat pengeluaran pada usia 55 tahun.

Ini kerana purata rakyat Malaysia masih bekerja selepas usia 55 tahun dengan usia minimum persaraan pada 60 tahun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Akaun Emas tidak akan menjejaskan skim semasa kerana ia hanya boleh dikeluarkan pada usia 60 tahun yang bakal dimanfaatkan kepada 250,000 ahli yang masih bekerja antara umur 55 hingga 60 tahun.

“Ini bermakna ahli yang berusia 55 tahun dan masih bekerja akan mempunyai dua akaun dengan kedua-duanya mendapat dividen yang sama dan caruman majikan juga adalah sama dengan menyumbang 12 hingga 13 peratus,” katanya.

Kekal had pengeluaran 55 tahun

Jaminan pengekalan pengeluaran caruman pada usia 55 tahun yang diumumkan baru-baru ini menjawab “isu hangat” yang diperkatakan pada tahun lepas tentang had umur pengeluaran simpanan persaraan. Pelbagai reaksi berbeza diterima apabila KWSP mencadangkan pengeluaran simpanan ditetapkan pada usia 60 tahun selaras dengan peningkatan usia persaraan rakyat Malaysia.

Pengumuman yang melegakan ahli itu membolehkan mereka mengeluarkan simpanan mereka sama ada sekaligus, sebahagian atau berperingkat.

Pengekalan pengeluaran pada usia 55 tahun itu dibuat setelah mengambilkira rundingan ahli pada tahun lepas yang menunjukkan 94 peratus responden bersetuju KWSP mengekalkan pengeluaran umur 55 tahun dan caruman baharu dari umur 55 hingga 60 tahun disimpan dalam Akaun Emas.

Rundingan itu juga katanya menyaksikan 61 peratus responden bersetuju agar bayaran dividen dilanjutkan dari umur 75 ke 100 tahun. “Ini akan dapat dimanfaatkan kepada ahli yang ingin mengekalkan sebahagian simpanan mereka dan mendapat faedah melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran penuh dibuat,” katanya dividen akan dikreditkan ke akaun ahli sehingga simpanan itu dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut selepas 100 tahun.

Langkah bijak

Penyediaan akaun persaraan kedua, Akaun Emas merupakan langkah bijak bagi memenuhi keperluan semasa yang semakin mendesak.

Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu memastikan rakyat dapat menikmati persaraan dalam keadaan yang selesa selepas umur 60 tahun, menurut pakar kewangan pengguna, Prof madya Dr. Mohamad Fazli Sabri.

Lanjutan tempoh pembayaran Dividen yang diberikan kepada pencarum yang berumur 75 hingga 100 tahun adalah peluang yang baik untuk ahli menambah penyimpanan melalui Akaun Emas. “Ini akan dapat membantu kerana perlu ada kerisauan dalam kalangan setiap rakyat kehidupan selepas bersara nanti.

Ini antara yang dapat membantu menguruskan wang persaraan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pengeluaran simpanan pada usia 55 boleh dimanfaatkan ahli dengan sebaiknya bagi memastikan duit berkenaan dapat ditingkatkan jumlahnya melalui pelaburan yang terjamin.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof ketika temubual eksklusif bersama Bernama di Pusat Pembelajaran KWSP. – Bernama
Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof ketika temubual eksklusif bersama Bernama di Pusat Pembelajaran KWSP. – Bernama
Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Johor Bahru, Faizal Abu Al-Ashari ketika temubual eksklusif bersama BERNAMA di Pusat Pembelajaran KWSP. – Bernama
Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Johor Bahru, Faizal Abu Al-Ashari ketika temubual eksklusif bersama BERNAMA di Pusat Pembelajaran KWSP. – Bernama

Selain menyimpan di Skim Persaraan Swasta (PRS), mereka boleh melabur dengan memilih instrumen simpanan dan pelaburan yang selamat dan terjamin. “Elakkan daripada terlibat dengan mana-mana skim pelaburan cepat kaya, sebaliknya, merancang kewangan dengan cara yang terbaik,” katanya.

Perlu rancang persaraan

Merancang persaraan memerlukan satu perancangan rapi bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat setiap tahun. Persoalannya, cukupkah dengan simpanan KWSP untuk menampung keperluan hidup 10 atau 20 tahun seleps bersara?

Walaupun sudah ada Akaun Emas namun pencarum masih perlu membuat perancangan persaraan sendiri sejak awal ketika mula memasuki alam pekerjaan.

Apa yang lebih penting, kesedaran merancang perbelanjaan daripada simpanan yang ada kerana jika tidak ada perancangan, duit boleh habis begitu sahaja, menurut pensyarah yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

“Setelah dibuat pengeluaran pada usia 55 tahun, cukup ke dalam tempoh lima tahun simpanan di dalam Akaun Emas itu untuk menampung kos hidup ketika persaraan nanti?,” katanya sambil membangkitkan persoalan.

Ketika usia mencecah 60 tahun, kebanyakan pesara memerlukan wang untuk beberapa perkara. Antaranya, perbelanjaan harian, hutang kenderaan, menanggung anak-anak di universiti, melancong di dalam atau luar negara, menanggung kos perubatan yang tinggi, masih membayar polisi insuran dan perubatan dan lain-lain lagi.

Sekiranya tidak dirancang, semakin lama dana persaraan semakin susut. Sehubungan itu, adalah penting untuk setiap individu itu menyimpan untuk persaraan dari awal termasuk kakitangan awam yang berpencen.

“Sistem yang ada seperti Akaun Emas sudah baik cuma kesedaran individu yang masih kurang. Jika umur 40 tahun baru hendak rancang persaraan, ia sudah tidak memberi makna.

“Harus dirancang penyimpanan seawal yang boleh dan aspek pendidikan berhubung merancang persaraan perlu diterap di peringkat sekolah lagi,” tegas beliau. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA