Penambang hilang ditemui

Penambang hilang ditemui

KUCHING, 12 Ogos – Seorang penambang yang dilaporkan hilang di Sungai Sarawak sejak Rabu lepas ditemui orang awam kira-kira 10:30 pagi tadi di dalam bot yang dinaikinya di Sungai Tambir. Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata mangsa, Sahari Zen, 75, dan berasal dari Kampung Empila, Kota Samarahan ditemui dalam keadaan yang sangat lemah.

Menurut Farhan, mangsa dipercayai hilang semasa dalam perjalanan pulang dari kawasan tebingan Kuching ke kampungnya dengan menaiki bot penambang.

Berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan penambang, Sahari bertolak dari kawasan Tebingan Kuching menaiki bot penambang bernombor 7447 berwarna hijau, sekitar pukul 5 petang, 10 Ogos. Bagaimanapun sehingga pagi ini Sahari masih belum sampai ke rumahnya di Kampung Empila, Kota Samarahan.

Farhan berkata semalam penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa melalui laluan sungai yang biasa digunakannya namun tidak menjumpai apa-apa petunjuk.

Menurut Farhan, kes dirujuk kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan pada jam 9:34 malam tadi.

Farhan berkata, usaha mencari dan menyelamat disertai anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Petra Jaya, polis, Jabatan Laut Sarawak, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bersama bot masing-masing dan enam orang awam dengan dua bot. – Bernama