Penanaman padi kian merosot

Penanaman padi kian merosot

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – “Kami telah kehilangan ritual perakong daripada penduduk Belait dan Makan Tahun daripada penduduk Kedayan di mana kedua-dua ritual ini adalah berkaitan dengan pesta selepas musim menuai bagi kedua-dua penduduk ini.

“Saya percaya ramai masyarakat di rantau ini juga mengalami kejadian yang sama,” kata Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa berucap merasmikan Festival Padi ASEAN yang telah berlangsung di Hotel StarLodge, Jerudong hari ini.

Beliau berkata, aktiviti penanaman padi pada masa kini semakin merosot jika dibandingkan dengan masa lalu kerana penglibatan orang ramai secara langsung di dalam proses pengeluaran beras sehingga hari ini semakin berkurangan dan ini termasuklah bagi Negara Brunei Darussalam. Kemerosotan ini mengakibatkan orang ramai lupa akan warisan-warisan budaya yang berkaitan dengan padi.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, dengan penekanan kerajaan dan inisiatif untuk meningkatkan ‘self-suffiency’ padi negara, aktiviti perancangan padi telah pun diadakan dan berharap agar festival padi ini juga dapat dihidupkan semula.

Tetamu kehormat ketika berucap pada majlis tersebut.
Tetamu kehormat ketika berucap pada majlis tersebut.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyaksikan pameran.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyaksikan pameran.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa yang terlibat dalam festival tersebut.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa yang terlibat dalam festival tersebut.

“Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku kementerian yang bertanggungjawab, saya amat menyokong usaha-usaha yang telah diambil oleh institusi-institusi dan organisasi yang berkaitan dalam usaha memulihkan semula dan memelihara warisan budaya kita yang kaya yang berkaitan dengan padi.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, di dalam konteks Negara Brunei Darussalam, sambutan musim selepas musim menuai adalah untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah S.W.T dan membolehkan penanaman padi untuk melaksanakan tanggungjawab zakat mereka.

Beliau menjelaskan, usaha yang telah dilakukan oleh Jabatan Muzium-muzium dalam menganjurkan Festival Padi ASEAN dengan sokongan Sekretariat ASEAN adalah sangat dibanggakan.

Dengan berlangsungnya festival ini, ia akan dapat menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara masyarakat dari negara-negara ASEAN untuk berkongsi pelbagai latar belakang budaya mereka di samping memelihara dan memupuk persefahaman budaya dan warisan bersama untuk generasi yang akan datang.