Penanaman padi luar musim dimulakan

Penanaman padi luar musim dimulakan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Usaha penanaman padi terus dipergiatkan dengan Majlis Menanam Padi Laila yang berlangsung di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis, Kampung Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu bersama-sama ahli-ahli Ladang Majlis Perundingan Kampung (MPK) Limau Manis, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah, Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai kanan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, penghulu, ketua-ketua kampung serta pengusaha-pengusaha padi.

Majlis penanaman padi luar musim yang bermula hari ini, diadakan di lot 10, KKP Limau Manis di ladang yang dimiliki oleh Awang Tarsim bin Haji Malok.

Kawasan ladang padi KKP Limau Manis yang berkeluasan 50 hektar adalah kawasan projek penanaman padi yang akan ditanami dengan padi varieti Laila yang melibatkan seramai 21 orang pengusaha.

Yang Berhormat Pehin bergambar-ramai selepas Majlis Menanam Padi Laila di KKP Limau Manis.
Yang Berhormat Pehin bergambar-ramai selepas Majlis Menanam Padi Laila di KKP Limau Manis.
Kerja-kerja penanaman padi menggunakan mesin yang dilaksanakan di KKP Limau Manis.
Kerja-kerja penanaman padi menggunakan mesin yang dilaksanakan di KKP Limau Manis.

Di samping dihasratkan untuk meningkatkan sumber perekonomian MPK Limau Manis, hasil ladang berkenaan juga dijangka turut menyumbang ke arah peningkatan pengeluaran hasil beras negara seperti yang disasarkan.

Pengusaha-pengusaha padi telah bergiat aktif menanam padi di tapak ladang berkenaan sebanyak 3 kali penanaman atau 3 musim sejak 2013.

Pengusaha-pengusaha itu telah diberi kursus pengurusan penanaman padi yang sempurna melalui Sekolah Perladangan Padi yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.

Kerja-kerja pengurusan ladang seperti membajak tanah, menanam, penyediaan semaian, pengawalan musuh dan penyakit tanaman serta penuaian hasil semuanya menggunakan kaedah moden iaitu dengan menggunakan mesin teknologi terkini.

Peningkatan teknologi pengairan secara saliran konkrit juga telah dibina di KKP Limau Manis bagi meningkatkan kapasiti pengairan yang cekap dan sistematik.

Status pengeluaran hasil ladang yang telah diusahakan oleh pengusaha-pengusaha di kawasan berkenaan dari tiga musim kebelakangan iaitu musim utama 2013/2014 sebanyak 100,872 kilogram, di luar musim sebanyak 42,130 kilogram serta di musim utama 2014/2015 sebanyak 79,755 kilogram.

ARTIKEL YANG SAMA