Penandatangan kontrak dengan 4 pelajar

Penandatangan kontrak dengan 4 pelajar

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Bacaan Surah Yasin bagi Peserta Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) bagi Daerah Brunei dan Muara.

Serentak diadakan pada majlis yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara ialah Upacara Menandatangani Kontrak Perjanjian Biasiswa Khas Sesi 2015-2019 antara pihak Yayasan dengan empat pelajar lepasan Projek Kelas Tuisyen PIP tahun lalu.

Keempat-empat mereka, Awang Ahmad Danial bin Jaafar, Dayang Nurfizatul Ain binti Haji Hambrin, Dayang Azirah binti Abdul Hafizdan Dayang Siti Nurlyani binti Emran mendapat keputusan cemerlang 5 ‘A’ dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah 2014.

Anugerah biasiswa itu memberi mereka keistimewaan untuk melanjutkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi persekolahan tahun ini, sementara semua kos perbelanjaan persekolahan akan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan.

Hadir bagi menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail dan Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Awang Musthapa bin Haji Matahir.

pg03_151003_b

Gambar ramai penerima Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai penerima Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang bersama tetamu kehormat.

Upacara menandatangani kontrak itu disaksikan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Awang Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud serta sebahagian daripada ahli Lembaga Pengarah Yayasan, pegawai kanan Kementerian Pendidikan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.

Majlis pada pagi itu dimulakan dengan sembahyang sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan doa selamat yang diketuai oleh Pegawai Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin.

Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan projek kerjasama antara Yayasan bersama Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Kelas tuisyen dikendalikan oleh para sukarelawan yang berdaftar dengan Unit Sukarelawan dan program itu bertujuan untuk menyuntik kesedaran, komitmen dan rasa tanggungjawab kepada para ibu bapa, penjaga dan para peserta Projek Kelas Tuisyen akan pentingnya pendidikan bagi menjamin masa depan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA