Penandatangan kontrak, pelancaran jersi DPMM FC

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seramai 25 pemain tempatan dan tiga pemain import diberi peluang untuk membarisi skuad Brunei DPMM FC bagi persaingan Liga Singapura (Liga-S) 2017.

“Kejuaraan memang sasaran kita,” ujar Pengurus Pasukan Brunei DPMM FC, Mohd Ali bin Haji Momin ketika ditemui sejurus selepas majlis penandatangan berkenaan.

Sejak menyertai Liga-S, Pasukan DPMM FC telah berjaya menjulang Piala Liga dan Piala Liga Singapura, namun belum pernah memenangi RHB Singapore Cup.

Selain merasa lega dengan kelibat pemain import, Mohd Ali melahirkan rasa gembira menyaksikan peningkatan prestasi pemain-pemain tempatan.

Musim ini, kelab berkenaan telah mengekalkan pemain dari Brazil, Rafael Ramazotti, di samping Billy Mermet dari England dan Francois Marque dari Franchis merupakan muka baru dalam skuad bimbingan Steve Kean.

Pelancaran jersi terbaru DPMM FC ‘Home’ dan ‘Away’.
Pelancaran jersi terbaru DPMM FC ‘Home’ dan ‘Away’.

“Pemain tempatan juga menunjukkan prestasi yang membanggakan terutama pada siri perlawanan latihan di Thailand baru-baru ini.

“Ia memberikan gambaran kesungguhan setiap pemain untuk meningkatkan potensi masing-masing,” jelas pengurus pasukan.

Pemain-pemain yang dibentuk di bawah kendalian ketua jurulatih, Steve Kean itu telah menandatangani kontrak bersama kelab berkenaan pada majlis yang berlangsung di The Centrepoint, Gadong, petang tadi.

Timbalan Pengerusi Kelab Bola Sepak DPMM FC, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj hadir selakutetamu kehormat majlis.

Majlis turut menyaksikan Penandatangan Kontrak Penaja antara DPMM FC dengan penaja-penaja bagi kejohanan bola sepak Liga-S 2017.

Pengurus Kelab, Pengiran Haji Muhd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin dan Pengurus Pemasaran, Haji Awang Momin bin Haji Mohd Ja’afar telah menandatangani mewakili kelab berkenaan.

Tahun ini, kelab berkenaan menerima tajaan daripada DST, Mitsubishi Corporation, BSM Co Sdn Bhd, Royal Brunei, Baiduri Bank Berhad, Golden Tree Sdn Bhd, HERTZ, Hui Huang Enterprise (Brunei), Nazmi Textile Mall, NBT (Brunei) Sdn Bhd dan Sport Partnership PTE. LTD.

Majlis juga diselajurkan dengan pelancaran jersi terbaru DPMM FC bagi perlawanan ‘Home’ dan ‘Away’ .