Penandatanganan buku takziah tragedi di Nice

Penandatanganan buku takziah tragedi di Nice

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Negara-negara sahabat menunjukkan sokongan dan perasaan simpati mereka atas tragedi yang menimpa rakyat dan penduduk Perancis dalam kejadian di Nice, Perancis pada 15 Julai lalu.

Sehubungan itu, para perwakilan dari negara-negara sahabat menzahirkan sokongan dan rasa simpati mereka dengan menandatangani buku takziah bagi mangsa tragedi berkenaan, di Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir semasa penandatanganan buku takziah dan mengalu-alukan para perwakilan negara-negara sahabat di kedutaan berkenaan ialah Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Loan Forgeron.

Dalam temu bual bersama Media Permata di kedutaan itu, Loan menyatakan penghargaan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah perutusan takziah dan sokongan Negara Brunei Darussalam yang berdiri teguh dengan rakyat Perancis serta mengutuk perbuatan pengganas itu.

Nguyen Truong Giang menandatangani buku takziah di Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.
Nguyen Truong Giang menandatangani buku takziah di Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.
Lim Hong Huai menyatakan sokongan dan rasa simpati rakyat serta penduduk Singapura kepada Loan.
Lim Hong Huai menyatakan sokongan dan rasa simpati rakyat serta penduduk Singapura kepada Loan.

Beliau menyatakan penghargaan kepada semua negara sahabat yang sama-sama menyokong dan berdiri teguh dengan rakyat dan penduduk Perancis dalam tragedi yang menimpa mangsa dan keluarga kejadian pengganas di Nice, Perancis ketika mereka menyambut Hari Kebangsaan.

Loan juga berkata bahawa tragedi itu merupakan perbuatan pengganas dan beliau amat terharu dengan sokongan daripada semua pihak yang sama-sama mengutuk perbuatan pengganas berkenaan.

Beliau menambah lagi bahawa seluruh rakyat dan penduduk Perancis akan terus berdiri teguh dan bersatu-padu untuk menghadapi tragedi itu yang mana ia hanya menguatkan lagi semangat mereka untuk tidak tunduk kepada sebarang perbuatan pengganas yang hanya ingin untuk memecahbelahkan kehidupan harmoni rakyat dan penduduk Perancis yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

ARTIKEL YANG SAMA