Penangkapan tuna haram cecah AS$740 juta

Penangkapan tuna haram cecah AS$740 juta

WELLINGTON, 15 Mac (AFP) – Penangkapan ikan tuna secara haram di Pasifik telah mencapai nilai yang ‘mengejutkan’ AS$740 juta setahun, dapatan kajian yang dikeluarkan hari ini.

Pasifik membekalkan kira-kira 60 peratus daripada tuna di dunia, ekonomi terpenting bagi sesetengah negara pulau kecil itu, akan tetapi kajian Forum Agensi Perikanan (FFA) itu adalah percubaan pertama mereka bagi mengukur kesan aktiviti haram tersebut.

Selepas dua tahun penyelidikan, kajian yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah membuat kesimpulan 276,000-338,000 tan tuna Pacifik telah diambil secara haram setiap tahun. Ia menganggarkan nilai tangkapan pasaran gelap pada harga AS$616 juta, tetapi berkata ia boleh mencapai dari AS$520 juta ke AS$740 juta.

Beliau berkata kajian itu akan membantu FFA, sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Honiara yang turut membantu mengawal penangkapan ikan di perairan 17 negara Pasifik bagi memerangi masalah penangkapan ikan secara haram.

Negara-negara kepulauan tersebut biasanya mempunyai perairan wilayah yang besar tetapi mempunyai sumber fasiliti yang terhad bagi memantau aktiviti memancing. Palau hanya mempunyai sebuah bot peronda jarak jauh untuk meronda kawasan seluas 500,000 kilometer persegi (193,000 batu persegi), lebih kurang saiz negara Sepanyol.

Laporan itu mendapati sebahagian besar daripada penangkapan ikan secara haram telah dijalankan oleh pukat tunda yang memiliki lesen untuk beroperasi di perairan Pasifik.

Ia berkata sama ada mereka tidak melaporkan hasil tangkapan mereka atau memindahkan hasil tangkapan itu kepada kapal lain yang jauh dari pemantauan monitor.

Penganalisis Australia hari ini menggesa agar Canberra memainkan peranan yang lebih aktif dalam melindungi perikanan Pasifik, yang katanya telah menghampiri ‘penghujung jalan’.