Penantian Uganda berakhir

Penantian Uganda berakhir

JOHANNESBURG, 5 Sept – Uganda menamatkan penantian hampir empat dekad untuk menempah tempat ke pusingan akhir Piala Negara-negara Afrika semalam.

Gol tunggal permainan jaringan Farouk Miya memberikan Uganda kemenangan 1-0 ke atas Comoros Islands di Kampala.

Uganda menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Burkina Faso dalam kumpulan itu dan mengesahkan salah satu daripada dua tempat yang diberikan kepada dua penghuni tangga kedua daripada 13 kumpulan kelayakan bagi kejohanan tahun depan itu.

Kali terakhir mereka beraksi di Piala Negara-Negara Afrika ialah pada tahun 1978 di mana mereka tewas pada aksi final di tangan tuan rumah, Ghana.

Sementara itu jaringan lewat permainan oleh Banou Diawara memastikan Burkina Faso menjuarai Kumpulan D dengan kemenangan 2-1 ke atas Botswana yang bermain sembilan orang.

Congo, Togo dan Tunisia mengisi tiga lagi baki slot ke pusingan akhir yang ditentukan sehingga ke perlawanan terakhir kelayakan.

Sebanyak 10 pasukan sudah mengesahkan tempat sejak perlawanan Jun lalu dan juara bertahan, Ivory Coast melayakkan diri sebagai pasukan ke-11 apabila seri 1-1 di laman sendiri menentang Sierra Leone kelmarin.

Togo turut melayakkan diri sebagai naib juara kumpulan, mengatasi Benin dan Ethiopia yang juga mengumpul 11 mata. Namun kemenangan 5-0 ke atas Djibouti memberikan kelebihan kepada Togo dengan perbezaan jaringan lebih tinggi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA