Penarafan A3 Sarawak bertahan kekal

Penarafan A3 Sarawak bertahan kekal

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) – Moody’s Investors Service menjangkakan penarafan A3 Sarawak dengan unjuran stabil akan kekal berdaya bertahan terhadap kesan penurunan harga komoditi dalam tempoh terdekat, namun harga minyak rendah yang berpanjangan boleh menjejaskan pengukuhan kewangan negeri itu.

Menurut Moody’s, daya tahan Sarawak adalah bersandarkan sejarah perancangan bajet konservatif, mudah tunai yang kukuh, kefleksibelan belanjawan yang sangat tinggi dan manfaat ekonomi disebabkan kelemahan ringgit.

“Kenaikan kos khidmat hutang mata wang asing negeri adalah disebabkan penurunan 23.8 peratus ringgit sejak tahun lepas sewajarnya boleh diuruskan, memandangkan kefleksibelan bajet yang ketara,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pendapat mengenai Sarawak terkandung dalam laporan yang baharu dikeluarkan bertajuk ‘Sarawak-Sub-Kedaulatan-Malaysia: Amalan Belanjawan Konservatif Sarawak, Kekukuhan Mudah Tunai Melemahkan Kesan Penurunan Harga Minyak’.

Laporan itu mengatakan ekonomi Sarawak yang dikuasai minyak, gas dan minyak sawit, yang kesemua menyumbang 32.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, manakala pembuatan – terutama pengeluaran gas asli cecair pula menyumbang 26.8 peratus.

Penurunan 54.4 peratus harga minyak sejak pertengahan 2014 telah memberi kesan ke atas eksport dan menjejaskan pertumbuhan manakala kesan sebahagiannya dikurangkan oleh penurunan ringgit. Oleh itu, meskipun persekitaran operasi adalah mencabar, anggaran bajet konservatif dan perbelanjaan mengurus Sarawak yang rendah sewajarnya terus menyokong, walaupun lebihannya lebih kecil.

“Bagaimanapun, jika harga minyak kekal pada kadar rendah semasa bagi jangka panjang, kami menjangkakan kedudukan kewangan negeri itu akan merosot,” menurutnya.

Menurut Moody’s juga, perancangan Sarawak untuk tidak membuat pinjaman baharu mewujudkan keadaan selesa apabila beban hutang akan berkurangan.

“Sarawak mempunyai penimbal mudah tunai yang kukuh terkumpul melalui lebihan bajetnya. Ketika ini ia mempunyai rizab hampir 2.5 kali jumlah hutang langsung dan tidak langsung yang dilaksanakan oleh negeri, memberikannya penampan yang lebih besar terhadap pergerakan mata wang,” menurutnya.

ARTIKEL YANG SAMA