Penari balet kanak-kanak dinilai

Penari balet kanak-kanak dinilai

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Royal Academy of Dance (RAD) buat pertama kalinya melaksanakan Peperiksaan Balet bagi kanak-kanak perempuan berumur tiga hingga 12 tahun yang telah mengikuti kelas tarian balet di Fitness Zone, Kiulap, hari ini.

Dalam peperiksaan itu, mereka dinilai oleh pemeriksa RAD, Dale-Maree Coles dari Australia yang mewakili RAD London dan dibantu oleh guru Fitness Zone yang berlesen dan diiktiraf RAD.

Turut berangkat menyertai peperiksaan itu ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. Turut serta ialah anak Pengarah Urusan Fitness Zone Wu Chun, Nei Nei.

Menurut Wu Chun, pada tahun ini, Fitness Zone menyokong pelbagai jenis minat berkaitan dengan kecergasan termasuklah dalam kalangan kanak-kanak, remaja, ibu-ibu dan profesional muda. Oleh itu, adalah penting untuk Fitness Zone mendapatkan program berlesen yang bukan sahaja baik untuk kesihatan jangka panjang malahan perkhidmatan kecergasan bertaraf dunia.

“Saya selalu yakin kehidupan lebih bermakna jika dipupuk daripada generasi muda dengan cara betul dan salah satu daripadanya ialah melibatkan mereka dalam apa-apa jua aktiviti berkaitan kecergasan, sukan dan menari yang boleh membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam hidup sekali gus melahirkan generasi yang gembira dan pintar,” katanya.

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah (tiga dari kiri barisan depan) berkenan bergambar ramai dengan Dale-Maree Coles, Wu Chun, para pengajar dan para penari balet lain yang dinilai dalam peperiksaan kali pertama itu.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah (tiga dari kiri barisan depan) berkenan bergambar ramai dengan Dale-Maree Coles, Wu Chun, para pengajar dan para penari balet lain yang dinilai dalam peperiksaan kali pertama itu.

Wu Chun menambah, “Sejak anak perempuan saya mula membuat tarian balet ketika dia berusia tiga tahun, dalam usia yang sangat awal, kami sedar bahawa kemahiran sosial dan hafalannya bertambah baik, semangat beliau melakukan aktiviti fizikal menjadi lebih kepada ‘mahu melakukannya’ daripada ‘perlu melakukannya’.”

Manakala Dale-Maree Coles ketika ditemui wartawan Media Permata menjelaskan bahawa beliau adalah salah seorang daripada 200 pemeriksa yang menjelajahi dunia bagi memeriksa kanak-kanak dan mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam mengajar tarian balet.

Menyentuh mengenai RAD, beliau menjelaskan bahawa RAD adalah salah sebuah organisasi pendidikan tarian yang paling berpengaruh di dunia dan matlamatnya adalah menetapkan standard dalam balet klasik dan mereka juga adalah peneraju global dalam Pembangunan Profesional Berterusan bagi tarian.

“Ia mula ditubuhkan sejak awal tahun 1900 di London oleh para penari. Dan pada ketika itu, mereka memutuskan bahawa penari memerlukan guru yang bagus dan juga sistem pembelajaran. Jadi, ini adalah sistem Inggeris dalam mempelajari tarian balet klasik.

“Dan baru-baru ini, saya rasa lebih 80 hingga 90 buah negara di dunia yang bermula dengan beberapa penari berkumpul bersama dan memutuskan bahawa mereka memerlukan sistem Inggeris, dan ia merebak,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA