Penarikan balik Takata mungkin cecah puluhan juta

Penarikan balik Takata mungkin cecah puluhan juta

WASHINGTON, 23 Feb (AFP) – Berpuluh juta kereta tambahan di Amerika Syarikat sahaja mungkin ditarik balik disebabkan kerosakan beg udara Takata, yang telah dikaitkan dengan beberapa kematian, kata pengawal keselamatan kereta AS semalam.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Nasional berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan meneruskan siasatan mengenai risiko dalam beg udara Takata yang dilengkapi dengan inflator berasaskan ammonium nitrat.

Inflator boleh pecah dan menyembur serpihan kepada penghuni kereta. Sepuluh kematian dikaitkan dengan beg udara pecah, dan kira-kira 28 juta beg udara Takata telah pun ditarik balik di Amerika Syarikat.

Namun jumlah tersebut mungkin meningkat mendadak tatkala NHTSA meneruskan penarikan balik kesemua beg udara syarikat Jepun dengan inflator berasaskan ammonium nitrat yang dipasang dalam kereta dan trak AS.

Masih tidak jelas jumlah beg udara yang telah dipasang dalam kenderaan AS.

Penarikan balik kereta yang mempunyai beg udara bermasalah di Amerika Syarikat mungkin cecah puluhan juta. - Reuters
Penarikan balik kereta yang mempunyai beg udara bermasalah di Amerika Syarikat mungkin cecah puluhan juta. – Reuters

NHTSA berkata ia percaya “inflator yang masih disiasat berjumlah berpuluh juta.”

Penyiasat mengesyaki bahan kimia yang digunakan untuk mengembungkan beg udara Takata boleh menjadi tidak stabil, terutamanya di bawah keadaan panas dan lembap yang berterusan, dan menyebabkan inflator pecah.

Syarikat itu dipaksa mengganti beg udara dalam kereta di seluruh dunia, walaupun penggantian baru adalah perlahan dan menimbulkan cabaran kepada penarikan balik.

Sementara itu, NHTSA menambah 180,000 kereta Saab dan Saturn kepada senarai penarikan balik beg udara Takata semalam, yang telah pun termasuk kereta daripada satu dozen pengeluar kereta lain.