Penarikan sijil halal kerana langgar prosedur

Penarikan sijil halal kerana langgar prosedur

PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) – Penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd bukan disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk, menueut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau berkata penarikan sijil bagi syarikat itu yang berkuat kuasa pada 7 Mei ialah kerana melanggar Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang melibatkan kesalahan-kesalahan kebersihan dan Good Manufacturing Practice (GMP).

“Bahagian Hab Halal telah memanggil syarikat terlibat dan syarikat itu telah berjanji akan melakukan tindakan segera berhubung kesalahan yang dilakukan sehingga mengakibatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia mereka ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung isu penarikan balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd berikutan kenyataan mengenainya tersebar luas di laman-laman sosial.

Hakimah berkata penarikan sijil halal itu tidak menghalang syarikat berkenaan untuk memohon semula Sijil Halal setelah tindakan pembetulan dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

“Jakim akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan ke atas Malaysia Standard 1500:2009 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014,” katanya.

Hakimah berkata Jakim amat memandang serius perkara itu dan mengingatkan kepada setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia dari semasa ke semasa.

“Tindakan juga akan diambil tanpa kompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran terhadap pematuhan piawaian pensijilan halal setelah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA