Penat berkayuh berbaloi

Penat berkayuh berbaloi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 26 Jun – Segala penat lelah mengayuh basikal selama 9 jam 45 minit mengharungi perjalanan sejauh 250 km bermula dari sempadan Miri ke Pantai Serasa Muara dan berpatah balik ke Pangkalan Brunei Garisson, di Seria tidak lama dahulu, membuahkan hasil apabila berjaya mengumpul $12,200 bagi tujuan amal.

Kayuhan amal selama 9 jam 45 minit itu disertai sekumpulan penunggang basikal dari Brunei Garrison terdiri daripada Kapten Greenwood, Kapten Ashwin Rana, Pegawai Waran II Limbu Chandra, Staf Sarjan Hampton dan isterinya, Staf Sarjan Sunuwar Minkumar, Sarjan Bless Mafaindi, Lens Koperal Nischal Rai, Kapten Albert Somuah dan ahli-ahli Geo Trax daripada Kelab Berbasikal Belait.

Hasil kutipan daripada penat lelah mereka itu disumbangkan kepada dua badan amal iaitu Yayasan Kanak-kanak Kanser (YASKA) dan Tabung Amal Gurkha. Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Tuker Line Brunei Garrison, Seria hari ini. Pada majlis tersebut Pegawai Pemerintah Angkatan Tentera British Brunei, Lt Kolonel Jodie Davies (MBE) menyampaikan cek sumbangan sejumlah $7,000 kepada wakil YASKA, Dr Hajah Siti Noor Azmah Abdullah, sementara Mejar Chandra Pun menerima cek sumbangan sejumlah $5,200 bagi mewakili G200 – Tabung Amal Gurkha.

Salah seorang peserta kayuhan amal itu, Kapten Greenwood, 29, semasa mengongsikan pengalaman berbasikal sebagai usaha pengumpulan dana itu berkata; “Kami memang agak penat, tetapi setelah berjaya mengumpulkan wang dana untuk disumbangkan kepada dua tabung amal kami merasa sakit gembira.

“Kami turut terfikir sakit yang kami rasai tidak menyamai dengan kesakitan dan kesempitan mereka yang hendak kami bantu,” katanya merujuk kepada Kanak-kanak Kanser (YASKA) dan mangsa bencana gempa bumi baru-baru ini di Nepal yang telah meragut nyawa seramai lebih 8,000 orang, menjejaskan beribu-ribu mangsa lain serta keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Lt Kolonel Jodie Davies menyerahkan replika cek sumbangan kepada Dr Hajah Siti Noor Azmah Abdullah. Turut kelihatan ialah Mejar Chandra Pun (tiga dari kanan) dan Kapten Greenwood (kanan sekali).
Lt Kolonel Jodie Davies menyerahkan replika cek sumbangan kepada Dr Hajah Siti Noor Azmah Abdullah. Turut kelihatan ialah Mejar Chandra Pun (tiga dari kanan) dan Kapten Greenwood (kanan sekali).

Kapten Greenwood yang akan kembali ke tanah airnya United Kingdom setelah berkhidmat selama dua tahun dengan Angkatan Tentera British, mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang telah melibatkan diri menyertai kutipan dana sehingga berjayanya acara itu.

Sementara itu Penyelaras Sistem Garrison di ibu pejabat Brunei Garrison, Sarjan Bless Mafaindi yang juga merupakan sebahagian daripada jawatankuasa kutipan dana tersebut berkata, tentera British mempunyai sejarah yang kukuh dalam melakukan aktiviti amal di negara ini.

Bagaimanapun menurutnya ini merupakan kali pertama mereka telah menyumbang kepada YASKA.

“Kami berharap akan dapat melakukan lebih banyak lagi usaha seperti ini untuk membantu badan-badan kebajikan lainnya di negara ini, sebagai salah satu cara kami untuk menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat di negara ini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA