Pencak Silat labuh tirai

Pencak Silat labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Pertandingan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69 ditutup secara rasmi malam tadi apabila Keris Khas disarungkan semula.

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr) Kemaludin Al-Haj menyempurnakan majlis sambil diiringi oleh Yang Dipertua Persekutuan Pencak Silat Negara Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Ludin.

Berangkat sama ialah dua orang cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb.

Pada Majlis di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad telah menyempurnakan penyampaian dua Perisai Rebutan Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Juara Cekak Asli Lelaki Dewasa, Janudin bin Haji Junaidi dari MS ABDB, yang berjaya mengalahkan pesilat Daerah Brunei Muara, Nor Ariffin bin Haji Tunjang dalam perlawanan akhir pertama malam tadi menjadi peserta pertama menerima Perisai Rebutan.

Penerima Perisai Rebutan bersama YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.
Penerima Perisai Rebutan bersama YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Juara Kuntau Lelaki Dewasa, Md Amrull bin Haji Ariffin dari Daerah Temburong yang menewaskan Abdul Rahman bin Haji Asli dari MS ABDB di perlawanan akhir kedua menerima Perisai Rebutan Kategori Kuntau.

Sebelum itu Yang Amat Mulia telah menyempurnakan penyampaian piala kepada empat pesilat terbaik Cekak Asli Lelaki Dewasa dan Kuntau Lelaki Dewasa.

Pemenang bersama tempat ketiga Cekak Asli Lelaki Dewasa ialah Awangku Abdul Muiz bin Pengiran Haji Abdul Karim dari MS Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (SBD) dan Arif bin Yahya@Johari dari Daerah Belait.

Sementara Muhd Zharfan Habibullah bin Muhd Zulshafiyan dari MSSBD dan Md Azizi dari Daerah Brunei Muara memenangi tempat ketiga bersama Kuntau Lelaki Dewasa. Kategori Tanding Kelas E Lelaki antara Abdul Rahim bin Sofian dari Daerah Belait dengan Amali bin Malik dari MS ABDB yang dimenangi Abdul Rahim dengan kiraan 3-0.

Dengan keputusan itu, MS ABDB menjuarai Kategori Tanding dengan kutipan enam emas, lima perak dan satu gangsa, diikuti Daerah Belait dengan lima emas, satu perak dan empat gangsa di tempat kedua dan Daerah Brunei Muara di tempat ketiga dengan empat emas, enam perak dan satu gangsa.

Daerah Tutong di tempat keempat dengan tiga emas, empat perak dan tiga gangsa, sementara Daerah Temburong pulang di tempat kelima dengan dua emas dan dua gangsa. MSSBD dengan dua gangsa selesai di tempat keenam.

ARTIKEL YANG SAMA