Pencak Silat Persahabatan

Pencak Silat Persahabatan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Mei – Dalam usaha mempergiatkan lagi aktiviti persilatan di Daerah Belait dan menarik lebih ramai penyertaan belia, Persatuan Silat Brunei (PERSIB) Cawangan Daerah Belait akan mengadakan Pertandingan Pencak Silat Persahabatan dengan para pesilat dari Bintulu, Sarawak selama tiga hari bermula dari 5 hingga 7 Jun ini di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait.

Dalam temu ramah bersama Media Permata hari ini, Timbalan Setiausaha PERSIB Belait Awang Fairulman bin Haji Bidin berkata, ketika ini PERSIB Belait menerima sambutan memuaskan dari kalangan para remaja dan kanak-kanak berumur dari 8 tahun ke atas namun menaruh harapan daripada kegiatan seperti ini akan mampu menambat hati lebih ramai lagi orang muda menyertai kelas silat PERSIB Belait.

“Sekarang ini dua perguruan di bawah PERSIB Belait giat aktif berlatih iaitu Perguruan Silat Nusantara dan Perguruan Silat PERGAH yang disatukan dan membuat sesi latihan di Dewan Serbaguna Pusat Belia Daerah Belait tiga kali dalam seminggu setiap Isnin, Rabu dan Jumaat mulai jam 8 malam hingga 10 malam,” jelas beliau.

Selain daripada dua perguruan ini, Perguruan Silat Warisan Pelangi dari Lumut juga aktif membuat latihan di Daerah Belait.

Para pesilat dari PERSIB Belait. – Gambar PERSIB Cawangan Belait
Para pesilat dari PERSIB Belait. – Gambar PERSIB Cawangan Belait

Awang Fairulman menambah pemilihan ke Pertandingan Silat Sempena Hari Keputeraan ini nanti akan dilihat berdasarkan persembahan semasa pertandingan persahabatan dengan pesilat dari Bintulu nanti.

Sebelum ini PERSIB Belait juga telah mengadakan perlawanan silat dengan persatuan silat dari Miri yang pernah beraksi di Sukan SUKMA Malaysia beberapa bulan lalu.

“Sememangnya beberapa aktiviti lain sedang dirancang oleh PERSIB Belait cuma menunggu keputusan dan pengesahan sahaja lagi. Pertandingan seterusnya selepas Hari Keputeraan adalah Pertandingan Silat Cekak Melayu dan Kuntau,” kata Timbalan Setiausaha itu lagi.

Mengenai keperluan alat-alat latihan PERSIB Belait, beliau berkata kini mereka mempunyai alat-alat asas untuk berlatih namun akan menyediakan lebih banyak peralatan lagi pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA