Pencalonan untuk Anugerah Rakyat ASEAN 2015 dibuka

Pencalonan untuk Anugerah Rakyat ASEAN 2015 dibuka

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) – Kementerian Luar hari ini mempelawa pencalonan bagi Anugerah Rakyat ASEAN 2015 bersempena penubuhan Komuniti ASEAN.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata ASEAN membuat keputusan memberi penghargaan kepada individu dari negara anggotanya dan/atau organisasi yang memberi sumbangan luar biasa ke arah pembinaan Komuniti ASEAN.

Katanya, ia termasuk dalam bidang politik, sosial, kebudayaan, integrasi ekonomi, belia, sumber pendapatan, pendidikan, kesukarelaan, pembangunan dan pemerkasaan masyarakat.

“Sumbangan ini juga merangkumi pencapaian dalam aktiviti umum kemasyarakatan dan kesukarelaan, pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, kerja amal, sumbangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan penerbitan, seni dan keusahawanan.

“Kategorinya tidak terbatas,” kata kementerian itu.

Menurutnya, pemenang anugerah ini akan menerima geran AS$10,000 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 November ini untuk menyokong dan mendorongnya terus menyumbang kepada proses pembinaan Komuniti ASEAN.

Maklumat lanjut tentang pencalonan ini boleh didapati dengan melayari http://asean2015.gov.my/.