Pencapaian hebat k’sama BIMP-EAGA

Pencapaian hebat k’sama BIMP-EAGA

pg01_151212_a

KUCHING, 11 Dis (Bernama) – Projek tenaga saling hubungan Kalimantan Barat dan Sarawak, projek utama yang dimulakan oleh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur- Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) dijangka siap pada April tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (gambar).

Beliau berkata projek dijangka dapat mengoptimumkan sumber tenaga serantau dengan Sarawak mengeksport lebihan tenaga ke Kalimantan Barat.

Katanya projek itu adalah satu pencapaian hebat dari segi kerjasama ekonomi negeri dengan BIMP-EAGA dan projek melibatkan pembekalan tenaga ke kawasan merangkumi Kuching dan Bengkayan di Kalimantan Barat, Indonesia.

“Grid kuasa ini merupakan infrastruktur amat penting bagi pembangunan Sub-rantau dalam kerjasama BIMP-EAGA. Apabila ia siap kelak, lebih banyak infrastruktur akan dibangunkan,” katanya dalam sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Beliau yakin seluruh Borneo akan menikmati bekalan tenaga boleh diperbaharui yang teguh daripada pembangunan projek bekalan tenaga itu, sekali gus menjadi tarikan pembangunan ekonomi di kawasan BIMP-EAGA.

Semalam, Datuk Abang Johari mewakili Sarawak dalam Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-19 di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata Sarawak yang ditugas mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti dalam BIMP-EAGA, giat mengetengahkan produk pelancongan unik di Malaysia, Brunei dan Filipina.

“Limpahan pembangunan ekonomi dalam kawasan ini akan memberi ruang dan mobiliti kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei untuk berintegrasi dan bekerja bersama, terutama dalam bidang ekonomi,” katanya.