Pencari kerja meningkat

Pencari kerja meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Pesta Kerjaya Brunei 2016 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November lalu di Dewan 1 dan 2 BRIDEX, Jerudong, mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih daripada 21,000 orang mengunjunginya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri hari ini, daripada jumlah itu, seramai 5,081 orang dikenal pasti belum mendapat pekerjaan.

Pada pesta kerjaya sebelum ini, pencari kerja berjumlah 9,282 orang. Berdasarkan data berdaftar diperoleh dalam Pesta Kerjaya Brunei 2016 ini, jumlah pencari kerja aktif terbaru ialah 12,800 orang.

Pesta tiga hari berkenaan menawarkan peluang pekerjaan bagi pelbagai tahap kemahiran dan kelayakan daripada pelbagai sektor seperti pembinaan, makanan dan minuman, pelancongan dan hospitaliti, pembuatan, kesihatan, pengangkutan dan logistik, pendidikan, perbankan dan kewangan, penerbitan, industri IT dan kreatif, runcit, perkhidmatan serta telekomunikasi.

Pesta ini juga diisikan lagi dengan pelbagai aktiviti termasuk bengkel menulis CV dan kaunseling kerjaya, demonstrasi pekerjaan, temu duga ‘walk-in’, sesi perbincangan kumpulan fokus industri dan keusahawanan, sesi program literasi digital dan sesi ceramah inspirasi yang terbuka kepada semua pencari kerja dan pengunjung secara amnya.

ARTIKEL YANG SAMA