Pencarian bot diperluas

Pencarian bot diperluas

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) – Operasi mencari sebuah bot bersama empat penumpang yang dilaporkan hilang Isnin lalu di kawasan perairan Pulau Balambangan, Kudat yang masuk hari ketiga hari ini, diperluas ke kawasan seluas 3,600 batu nautika persegi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som berkata aset dan anggota agensi yang terlibat dalam operasi pencarian berkenaan memasuki sektor carian kira-kira jam 7 pagi ini.

“Berdasarkan kepada keadaan angin dan arus, dan sekiranya bot yang hilang dipercayai terapung dan hanyut, perkiraan menunjukkan bot hanyut ke Barat atau Barat Laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya dalam operasi pencarian hari ini, Maritim Malaysia menggunakan aset KM Memmon, Kilat 48 dan pesawat Dauphin manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menggerakkan aset KD Baung dan KD Jerong.

Dalam kejadian Isnin lalu itu, empat orang yang dilaporkan menaiki bot berkenaan ialah wanita rakyat Malaysia.