Pencarian mangsa masuk hari keempat

Pencarian mangsa masuk hari keempat

ISLAMABAD, 8 Nov (Agensi) – Jumlah kematian akibat runtuhnya sebuah kilang di timur bandar Pakistan Lahore telah meningkat kepada 49 tatkala anggota menyelamat terus mengeluarkan lebih banyak mayat pada hari keempat, kata pegawai semalam.

Pegawai Penyelarasan Daerah Lahore, Muhamad Usman, berkata anggota menyelamat telah mengeluarkan 15 mayat lagi termasuk pemilik kilang dan beberapa mangsa yang cedera dalam tempoh 24 jam lalu.

Kejadian itu berlaku pada Rabu apabila pekerja sibuk dengan kerja-kerja pembinaan di tingkat keempat bangunan kilang di Kawasan Perindustrian Sundar di pinggir bandar Lahore, ibu negeri wilayah timur Punjab.

Tidak ada bahagian kilang, termasuk bahagian kediamannya, yang masih berada dalam keadaan baik selepas bencana.

Mayat-mayat runtuhan kilang dipindahkan oleh pihak penyelamat yang kini sudah memasuki hari keempat operasi kelmarin. - Reuters
Mayat-mayat runtuhan kilang dipindahkan oleh pihak penyelamat yang kini sudah memasuki hari keempat operasi kelmarin. – Reuters

Ketua Menteri wilayah, Shahbaz Shairf, berkata kilang itu hanya dibenarkan membina dua tingkat, namun pemilik telah membina tiga dan sedang membina tingkat keempat tanpa kebenaran daripada jabatan pembinaan berkenaan.

Menurut pekerja yang cedera, kira-kira 200 orang berada dalam bangunan kilang Rajput Polyester, yang menghasilkan beg membeli-belah politena.

Kumpulan kejuruteraan tentera Pakistan telah pun memimpin operasi menyelamat dan mereka sedang memotong besi dan menggunakan kren dan jentera berat.

Lebih daripada 400 pekerja menyelamat, dengan harapan tipis untuk menemui mana-mana mangsa yang hidup, sedang mengambil bahagian dalam operasi itu dan berjaya mengosongkan dua tingkat atas kilang setakat ini dan mengeluarkan 109 mangsa yang cedera.

Beberapa keluarga mangsa yang hilang sedang menunggu berhampiran tapak tatkala anggota menyelamat meneruskan operasi mereka.

ARTIKEL YANG SAMA