Pencarian MH370 di tempat betul – Truss

Pencarian MH370 di tempat betul – Truss

SYDNEY, 3 Dis (AFP) – Australia hari ini berkata analisis data baru mengenai jet MH370 yang hilang mengesahkan pihak berkuasa mencari di tempat yang betul, dengan harapan satu hari nanti ia akan ditemui.

Australia mengetuai pencarian sukar di selatan Lautan Hindi terpencil bagi pesawat udara Malaysia Airlines sejak kehilangan misterinya pada 8 Mac tahun lalu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing bersama 239 orang di dalamnya. Berdasarkan analisis satelit ke atas trajektori pesawat itu selepas ia melencong dari laluan penerbangannya, kapal-kapal digunakan untuk melancarkan usaha mencari di perairan dasar laut pantai barat Australia, setakat ini telah mencari di 75,000 kilometer persegi dari 120,000 kilometer persegi zon sasaran tanpa membuahkan hasil.

Timbalan Perdana Menteri, Warren Truss berkata Kumpulan Teknologi dan Sains Pertahanan Australia ditugaskan mengumpul semua data yang ada sekali lagi untuk memastikan tidak ada yang tertinggal.

Kesimpulan, dengan menggunakan model-model data perhubungan satelit Inmarst, kedinamikan pesawat udara dan data meteorologi untuk memastikan kemungkinan laluan penerbangan, telah dikeluarkan dalam laporan baru – “MH370 – Definisi Kawasan Pencarian Dalam Air.”

Warren Truss pada sidang media bersebelahan peta memaparkan kawasan pencarian pesawat Malaysia MH370 di Parlimen di Canberra, Australia, pada 3 Disember 2015. – Reuters
Warren Truss pada sidang media bersebelahan peta memaparkan kawasan pencarian pesawat Malaysia MH370 di Parlimen di Canberra, Australia, pada 3 Disember 2015. – Reuters

“Hasil utama usaha tambahan ini mengesahkan apa yang telah berlaku setakat ini. Ia menegaskan pesawat udara itu mungkin berada di suatu tempat dalam kawasan120,000 kilometer persegi di sepanjang lengkung ketujuh,” kata Truss, dengan merujuk kepada kawasan yang pihak berkuasa percaya pesawat itu terhempas.

“Penyelidikan seterusnya menekankan bahawa kami mencari hala betul, ia menggunakan metodologi berlainan dan telah mencapai kesimpulan sama.

“Itu memberikan kami dorongan sebenar bahawa setiap usaha sedang dibuat untuk memastikan pencarian begitu menumpu dan disasarkan dan diharapkan satu hari nanti akan mencapai keputusan memuaskan.” Tiga buah kapal terus melancarkan usaha mencari di kawasan itu, dalam tempoh itu kembali ke pelabuhan untuk bekalan semula – pelayaran empat hari dalam setiap hala melalui keadaan yang kerap teruk.

“Cuaca terus memberi impak kepada operasi mencari tetapi bermulanya musim panas dijangka akan membawa keadaan lebih baik dalam tempoh beberapa minggu mendatang,”Pusat Penyelarasan Agensi Bersama berkata dalam kemas kini berasingan hari ini.

Spekulasi tentang punca kehilangan pesawat itu terutamanya menumpu pada kemungkinan kerosakan mekanikal atau struktur, perampasan atau komplot ganas atau tindakan juruterbang yang berniat jahat.

ARTIKEL YANG SAMA